KOTA TINGGI - Pasukan bola sepak Aji Santoso International Football Academy (Asifa) muncul juara perlawanan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) International Challenge (KIC) 2016 Football U15 selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI) dengan kemenangan tipis 1-0.

Jurulatih Asifa, Suprapto berkata, sebanyak 12 peserta dari Malaysia dan Indonesia menyertai kejohanan yang dianjurkan kali kedua itu.

Menurutnya, beliau gembira kerana berjaya membawa pasukannya menjadi juara, sekali gus membuatkan lagu Indonesia Raya berkumandang di negeri orang.

“Tujuan utama penyertaan Asifa bukanlah untuk menjadi juara semata-mata, sebaliknya mahu memberikan pengalaman kepada anak buah saya untuk bermain di pentas antarabangsa bagi skuad U15.

“Alhamdulillah kami mampu menjadi juara. Sebenarnya lawan kami juga sudah mempersiapkan diri dengan baik bagi berdepan kejohanan ini yang dianjurkan setiap tahun," katanya.

Kata beliau, bagaimanapun ternyata pasukan mereka mampu menunjukkan kemampuan dengan muncul sebagai juara.

Terdahulu, KIC Football U15 yang berlangsung di Stadium Bandar Penawar itu bertujuan menjenamakan Kejora di pentas antarabangsa, sekali gus mempromosikan pelancongan di kawasan berkenaan melalui sukan.