Benarlah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Bermula daripada desakan ayah agar memilih hoki sebagai sukan untuk diceburi di sekolah, siapa sangka anak muda berjiwa kental ini akhirnya jatuh hati dengan permainan tersebut.

Baru berusia 12 tahun, bakat Adam Fahmi Izzuddin Asronizam dalam bidang hoki kian menyinar apabila dia bukan sahaja terpilih mewakili sekolah, malah turut berpeluang ke kejohanan mewakili daerah dan seterusnya negeri.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga ini, dunia hokinya bermula pada 2016 selepas bapa, Asronizam Mamat memintanya mencuba sukan itu bagi mengelak persaingan dalam bola sepak.

“Saya ikut cakap ayah pergi ke pemilihan. Jurulatih nampak potensi awal yang ada dalam diri saya lalu melatih saya bermain hoki.

“Saya akhirnya terpilih bermain mewakili sekolah, masa tu saya mula rasa seronok main hoki. Berkat latihan demi latihan, saya kemudian dapat wakili Kuala Terengganu ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) pada tahun sama.

“Ayah jadi pendorong besar buat saya. Bermula dari kosong, saya kini bergelar atlet hoki dan berharap dapat menempa lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya.

Fizikal, cepat faham taktikal beri kelebihan

Adam Fahmi Izzudin yang lebih mesra disapa Adam berkata, fizikal yang sesuai dan cepat memahami taktikal diterapkan jurulatih memberi kelebihan kepadanya dalam bermain hoki.

Menurutnya, bermain hoki memerlukan kemahiran dan kepantasan, susulan itu dia perlu sentiasa melakukan latihan untuk menyesuaikan dengan permainan hoki moden agar dapat menjaringkan gol, sekali gus menewaskan pihak lawan.

Berkongsi pencapaiannya dalam hoki, Adam berkata, dia berjaya menyumbangkan gol kemenangan buat pasukan negeri dengan menumpaskan Selangor semasa kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuantan, Pahang pada Ogos lalu.

“Saya sangat gembira sebab ini merupakan gol pertama saya di peringkat tertinggi kejohanan yang pernah disertai.

“Ini baru permulaan, perjalanan saya masih panjang dan saya harap dapat menyarung jersi pasukan hoki Terengganu dan seterusnya Malaysia satu hari nanti,” katanya.

Peluang Adam dalam sukan hoki semakin cerah apabila dia berpeluang mengikuti Projek Hoki Majlis Sukan Negeri Terengganu melalui Program Pengesanan Bakat anjuran Jabatan Pelajaran Negeri yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin pada tahun depan.

Pasukan hoki bawah 12 tahun MSST dengan Adam menyarung jersi nombor 14.

Adam berbakat besar

Sementara itu, jurulatihnya yang juga guru SK Pusat Chabang Tiga, Mohd Nor Azlan mengakui bakat besar yang ada pada diri Adam dalam permainan hoki.

“Dia menunjukkan kesungguhan dalam setiap sesi latihan dan perlawanan. Dia juga sentiasa mempamerkan aksi dan skil yang cukup memberangsangkan.

“Dalam setiap perlawanan, dia banyak berbincang dengan rakan sepasukan untuk mencapai kata sepakat bagi mempamerkan corak permainan cemerlang.

"Apa yang saya nampak, Adam mempunyai harapan cerah untuk mengorak lebih jauh dalam sukan hoki, seterusnya berkemampuan menempatkan diri sebaris pemain terbaik negeri yang lain,” katanya.

 

Adam (empat kiri) bersama pasukan hoki lelaki SK Pusat Chabang Tiga.