BAGAN DATUK - Walaupun dikategorikan sebagai sekolah di pedalaman namun tidak menghalang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bernam merangkul kejayaan sehinga membawa nama sekolah ke peringkat negeri.

Pasukan perempuan bola baling bawah 12 tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bernam muncul juara pada Kejohanan Bola Baling Peringkat Daerah Bagan Datuk di padang SK Teluk Buloh pada 13 Februari lalu.

Berikutan kejayaan itu, pasukan ini mewakili ke peringkat negeri yang berlangsung pada 23 dan 24 Februari di SK Seri Manjung.

Walaupun masih kecil tetapi apa yang dilakukan murid sekolah ini setelah berjaya menjadi juara amat mengejutkan.

Tanpa menghiraukan tanah dan rumput padang, mereka beramai-ramai sujud syukur, malah ada antara pemain cilik ini yang menitiskan air mata gembira.

Penolong Kanan Kokurikulum, Mawaridi Abdullah berkata, displin dan semangat pemain, pengurus serta jurulatih yang tinggi serta latihan berterusan adalah rahsia kejayaan sekolah itu.

"Sokongan daripada pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat menggalakkan membantu kejayaan pasukan bola baling sekolah.

"Semangat juang dan komitmen ditunjukkan murid ketika latihan dan pertandingan ternyata berbaloi dan membuahkan hasil," katanya.

Menurutnya, murid dilatih membina ketahanan mental dan fizikal serta stamina secara berterusan sepanjang tahun.

"Latihan, kemahiran dan taktikal antara persediaan dalam menghadapi pertandingan dilakukan.

"Kami juga turut mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan beberapa sekolah di luar Perak," katanya.

Murid bawah 12 tahun yang berjaya mengharumkan nama SK Ulu Bernam pada kejohanan peringkat daerah yang berlangsung di SK Telok Buloh.

Beliau berkata, ketua jurulatih, Anuar Yazid dan pengurus pasukan, Mat Nawi Kadir menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan sekolah menjadi johan dalam pertandingan bola baling peringkat daerah ini.

Beliau turut berkongsi beberapa ciri perlu ada untuk menjadi pemain bola baling yang baik:

1) Pemain mestilah menguasai lapan kemahiran asas bola baling dengan baik.

2) Harus mempunyai dispilin yang tinggi.

3) Komited dengan latihan dan tunjuk ajar yang diberi.

4) Memiliki semangat untuk menjadi juara dan semangat "Kita Boleh".

Murid bawah 12 tahun yang berjaya mengharumkan nama SK Ulu Bernam pada kejohanan peringkat daerah yang berlangsung di SK Telok Buloh.