Minat bermain bola jaring sejak kecil mencetuskan dorongan kuat kepada gadis tinggi lampai ini untuk menawan dunia dalam sukan itu.

Ini azam pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Shah Alam,  Siti Nor Daniea Anisya Iqma Syamsul Rakesh yang menjadikan pemain bola jaring New Zealand, Solonaima Maria Tuta’ia sebagai idola.

“Saya nak jadi seperti Solonaima Maria Tuta’ia atau lebih dikenal dengan panggilan Maria Tutaia, beliau pemain bola jaring New Zealand bermain posisi ‘Goal Shooter’ (GS) seperti saya,” katanya.

Siti Nor Daniea Anisya Iqma  yang mesra dengan panggilan Daniea, menganggap Maria Tutaia sasaran utama dalam hidup dan harus berusaha kuat untuk mencapainya.

“Dari dulu sampai sekarang saya ingin jadi pemain bola jaring profesional  dan menjadi kebanggaan keluarga sekali gus mengharumkan nama negara.

“Saya mula bermain bola jaring  dan mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Perdana ketika darjah enam dan mendapat tawaran melanjutkan persekolahan peringkat menengah di sekolah ini,” katanya.

Daniea (tengah) ketika latihan bermain sebagai Gol Defend (GD).

Faktor ketinggian cetus minat

Katanya, faktor fizikal dengan ketinggian mencecah 170 sentimeter juga salah satu sebab dia suka sukan bola jaring.

“ Untuk sukan ini ketinggian seseorang permain terutama posisi GS seperti saya sangat memainkan peranan penting.

“Tinggi saya 170 sentimeter cukup membantu saya untuk main di posisi GS. Lagi tinggi lagi bagus.. macam Maria Tutaia, dia sangat tinggi, tingginya cecah 188 sentimeter dan sebab itu Maria Tutaia sangat menyerlah serta dapat buat jaringan dengan sangat baik setiap kali perlawanan,” katanya.

Katanya, sebagai GS dia merupakan penjaring gol pasukan dan tentunya mahir dalam membuat jaringan.

“Setiap pemain akan menjaga dan bermain di kawasan masing-masing dan pemain tidak bebas bergerak ke segenap sudut gelanggang kerana mereka mempunyai sempadan tertentu dan perlu ikut peraturan ditetapkan.

“ Jadi ketika saya bermain di posisi GS saya kena sentiasa pantas dan mencuri seberapa banyak peluang untuk  membuat jaringan,” katanya.

Sokongan kuat ibu bapa

Kata Daniea, dia bertuah kerana minatnya itu mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya.

“Setiap kali saya ada perlawanan, ibu dan bapa akan datang beri sokongan dan semangat untuk saya main dengan bersungguh-sungguh.  

“Mereka juga sokong penuh cita-cita saya untuk jadi pemain bola jaring profesional dan selalu nasihatkan saya agar belajar serta berlatih bersungguh-sungguh untuk kejar cita-cita,” katanya.

Katanya, pengalaman manis sepanjang menceburi sukan ini sangat banyak kerana dia telah beraksi dalam banyak perlawanan sejak 2015.

Katanya, kenangan paling manis ketika dinobat pemain terbaik di Kejohanan Terbuka Antarabangsa USM 2016.

“Di sini, banyak perkara yang saya belajar dan terima banyak pendedahan melalui perlawanan yang disertai, saya harap dengan pencapaian yang saya peroleh di sini akan melayakkan saya untuk ke sekolah sukan Malaysia nanti,” katanya.

Daniea (berdiri, belakang, enam kiri) bersama ahli pasukan bola jaring SMK Seksyen 11 dengan sebahagian piala yang dimenangi mereka.

Kesan bakat Daniea ketika perlawanan

Manakala ketua jurulatih pasukan Norida Samsuddin berkata, apa yang penting kepada pemain adalah latihan berterusan bagi meningkatkan stamina selain memperkasakan kemahiran.

“Bagi pemain di peringkat sekolah seperti ini, mereka boleh sertai kejohanan anjuran peringkat sekolah dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

“Seperti Daniea, saya nampak bakatnya boleh pergi jauh.. dengan faktor fizikalnya yang tinggi  menjadi bonus yang sangat baik untuk seorang pemain bola jaring,” katanya.

Kata Norida, Daniea sangat rajin dan komited ketika berlatih tidak hairanlah dengan kesungguhannya ketika latihan telah membuahkan hasil apabila dia diangkat pemain terbaik tahun lalu.

Katanya, ketika latihan pemain diajar peraturan permainan dan teknik bermain dengan betul serta beberapa latihan kecergasan untuk meningkatkan stamina semasa perlawanan.