ISKANDAR PUTERI - Pasukan FC 2020 Bandar Putra Kulai (FC 2020) muncul juara dalam kejohanan Junior Football Tournament-Hero 14’ Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang berlangsung di Kompleks Educity, di sini, kelmarin.

Pasukan di bawah kendalian Rohaizad Abd Jalil itu berjaya mengetepikan Zero One B FC, Johor Bahru dengan jaringan 6-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan
gagal menjaringkan gol pada perlawanan akhir.

Selaku juara, FC2020 menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000, medal, piala pusingan dan piala iringan, manakala Zero One FC pula menerima hadiah wang tunai RM700 dan medal.

Tempat ketiga dan keempat kejohanan menjadi milik Harimau United FC yang menerima hadiah wang tunai RM500 dan medal, manakala Sinar FC pula membawa pulang wang tunai RM300 dan medal.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Majlis, MPJBT Zon Prisma Iskandar, Azizah Nasabu dan diiringi Pengurus Yayasan berkenaan Fadzilin Abd Rashid.

Sementara itu, Azizah berkata, dia kagum dengan semangat kesukanan dan persaingan sihat antara pasukan yang mengambil bahagian.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian kerana menunjukkan semangat kesukanan tinggi untuk meraih kemenangan.

“Selain daripada mencungkil bakat dalam bola sepak kejohanan ini juga adalah platform kepada semua pemain terlibat untuk terlibat dalam aktiviti sihat,”katanya.