GANDINGAN bapa dan anak, Mohamad Nasuha Ahmad dan Iman Solihin Mohamad Nasuha merangkul dua daripada empat kategori Majlis Anugerah Gayong 2016 yang disampaikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020, Perak, baru-baru ini.

Mohamad Nasuha, 37, seorang guru di sebuah sekolah menengah dinobatkan pemenang Tokoh Gayong 2016 bersama Khalid Saedon yang juga Guru latih Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Tanjung Malim.

Anak sulungnya, Iman Solihin Mohamad Nasuha pula muncul Tokoh Cilik Gayong 2016 hasil pencapaiannya sebagai pemenang pingat emas solo tari silat putera (sekolah rendah) dan
pingat gangsa Pertandingan Pencak Silat Gangga Negara selain lulus ujian kenaikan bengkung PSSGM Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan perasmi majlis berkenaan, Hamka Othman berkata, penglibatan generasi muda dalam seni bela diri silat mampu mencegah mereka daripada
terjebak dengan gejala buruk sosial sekali gus memastikan seni warisan bangsa Melayu ini terus mekar merentasi cabaran peredaran zaman.

“Peranan pihak PSSGM adalah tepat pada masanya memandangkan meningkatnya kes-kes jenayah dan kegiatan tidak bermoral dalam kalangan belia, dewasa ini yang dianggap mampu
menggugat keselamatan masyarakat dan negara.

“Majlis Anugerah Gayong 2016 juga diharap dapat buka minda golongan muda untuk memartabatkan seni warisan ini seterusnya memupuk semangat berdaya saing dalam memburu
kecemerlangan hidup,” katanya.