KUALA TERENGGANU - Atlet sukan berbasikal dan olahraga mengungguli Majlis Anugerah Gemilang Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) 2017 yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang di Dewan Quinn Nara Al-Safir Resort dekat sini.

Pada majlis itu, pemenang tempat ketiga dalam acara lumba basikal 40 kilometer bawah 17 tahun ketika mewakili negara ke Program Jelajah Eropah di Belanda dan Belgium Ogos lalu, Ahmad Faisal Izuddin Ahmad Joyo dinobatkan selaku Olahragawan SSMT 2017.

Anugerah olahragawati menjadi milik atlet olahraga menerusi acara rejam lembing, Siti Aminah Abdul Hadi selepas melakarkan kejayaan cemerlang dengan meraih pingat emas di peringkat kebangsaan dan juga Kejohanan MSSM-LAWA- SSSC ‘International Little Athletics Girl Under 15’ Edisi ke-25 di SSM Pahang, Gambang Julai lalu.

Pelajar SSMT meraikan kejayaan mereka setelah meraih pelbagai kejayaan cemerlang pada Majlis Anugerah Gemilang SSMT 2017 di Dewan Quinn Nara Al-Safir Resort.

Bagi anugerah olahragawan harapan pula dimenangi, Muhammad Afiq Iskandar Hasyim (atlet lumba basikal) manakala olahragawati harapan menjadi milik Siti Nurzullaika Ramli dari sukan olahraga.

Hadiah berupa barangan sukan, blazer, sijil penghargaan dan plak kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aireen Ahmad Shahuddin.

Hadir sama, Penyelia Sukan PPD, Kuala Nerus, Zakaria Abdul Rahman, Penolong Pengarah MSNT, Nasree Najmi dan Pengetua SSMT, Huszaidi Hussin.

Atlet cemerlang yang meraih sekurang-kurangnya pingat perak dan emas di peringkat kebangsaan turut menerima anugerah masing-masing melibatkan acara lawan pedang, judo, olahraga, sepak takraw dan berbasikal.

Siti Aminah meraih pingat emas ketika menyertai Kejohanan MSSM-LAWASSSC ‘International Little Athletics Girl Under 15’edisi ke-25 di SSM Pahang, Gambang Julai lalu.

Puji usaha SSMT

Sementara itu, Aireen memuji dan menyambut baik usaha yang dilakukan pihak SSMT dalam mengiktiraf kejayaan pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan juga prestasi sukan mereka.

“Pengiktirafan sebegini secara tidak langsung dilihat mampu memberi suntikan semangat buat pelajar untuk lebih cemerlang sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

“Malah ia juga dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus bersaing dengan secara lebih sihat sekali gus mampu memanfaatkan apa jua bentuk bantuan yang disalurkan pihak kerajaan khususnya KPM melalui insentif disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, Huszaidi Hussin mengakui pencapaian pelajar dalam bidang sukan masing-masing amat memberangsangkan apabila ada dalam kalangan mereka berjaya membawa cabaran negara ke kejohanan di peringkat antarabangsa.

Katanya, dua daripada atlet terbaiknya dalam sukan lumba basikal bakal menyertai dua lagi kejohanan di peringkat antarabangsa iaitu di Australia dan juga Indonesia bulan ini.

“Kecemerlangan mereka dalam bidang sukan sahaja hasil bimbingan guru-guru, malah kita turut mendapat khidmat kepakaran daripada ketua jurulatih negeri menerusi kerjasama strategik yang dijalankan antara SSMT dan MSNT.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.765790.1512354640!/image/image.jpg

Muhammad Afiq Iskandar Hasyim (dua, kanan) dinobatkan selaku olahragawan harapan, manakala olaharagawati harapan menjadi milik Siti Nurzullaika Ramli.

Olahragawan dan olahragawati SSMT 2017 merakam kenangan bersama Aireen (kiri) dan Huszaidi (kanan) selepas menerima hadiah kemenangan masing-masing.

 

“Insya-ALLAH pada sesi pembelajaran musim 2018 nanti, kita bakal menerima sekurang-kurangnya 50 atlet dalam lapan bidang sukan yang ditawarkan SSMT antaranya termasuk olahraga, angkat berat, judo, berbasikal, lawan pedang, boling padang, silat olahraga dan sepak takraw,” katanya.

Huszaidi berkata, walaupun mereka (pelajar) berjaya meraih pelbagai kejayaan  dalam bidang sukan, namun kecemerlangan dalam akademik turut menjadi agenda utama  di SSMT.