"Syukur alhamdulillah saya tak sangka dapat wakil Selangor untuk Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Perak pada September nanti,” kata atlet petanque, Ayzek Hakimi Safingan, 15.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Rawang itu tidak menolak usaha keras berlatih sukan petanque setiap hari memberi peluang  kepadanya untuk beraksi cemerlang.

"Pada mulanya saya menceburi bidang sukan ini ketika masuk  tingkatan satu lagi dan apabila mula dapat tempat dalam acara yang disertai, saya jadi  semangat untuk lebih berjaya.

"Keluarga pun beri sokongan moral selepas nampak saya mampu berjaya dalam bidang ni dan  semestinya saya mahukan yang terbaik untuk menonjolkan potensi diri,” katanya.

Ayzek Hakimi berkata, dia perlu bijak membahagikan masa untuk belajar dan berlatih lebih-lebih persiapan untuk mewakili Selangor dalam Sukma yang dijangka 11 sehingga 21 September nanti.

"Memang sekarang ni kena berlatih hari-hari tapi pada masa sama, saya kena bijak bahagi masa sebab ada PT3 juga. Tapi alhamdulillah semua beri  sokongan kepada saya.

"Saya berharap dapat beraksi cemerlang dalam Sukma nanti dan membawa pulang pingat emas untuk Selangor sekali gus dapat mengharumkan nama  sekolah,” katanya.

Dalam kejohanan Sukma itu, Majlis Daerah Kuala Selangor  (MDKS) dilantik Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sebagai bapa angkat bagi sukan petanque manakala Persatuan Petanque Negeri Selangor (Baru) sebagai Pengurus Pasukan Petanque Selangor Sukma 2018.

Ayzek Hakimi antara pemain muda dari Selangor yang berjaya mewakili negara sempena  Kejohanan Petanque 2nd Asian Boules Sport Confederation di  Arena Petanque Kuala Lumpur.

Ayzek Hakimi menjuarai acara shooting remaja dan triple remaja manakala seorang lagi wakil Selangor, Anis Amira Basri berjaya mendapat tempat ketiga  acara trilpe wanita.

Negara luar yang turut menyertai Kejohanan Petanque 2nd  Asian Boules Sport Confederation itu seperti Thailand, Kemboja, Iran, Indonesia, Singapura, China dan Vietnam.