SETIU - Terengganu muncul juara Temasya Sukan Anak Yatim Semalaysia (Sukya) Kebangsaan ke-11/2018 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru, Durian Daun, Melaka.

Ketua kontinjen, Profesor Madya Ahmad Suhaily Mohd Salleh berkata, pada kejohanan itu, pasukan Terengganu mengungguli tempat pertama dengan memperoleh 80 mata mengatasi pasukan Johor di tempat kedua dan Perak ketiga.

“Sebanyak 12 acara dipertandingkan seperti olahraga, bola sepak, bola jaring, futsal, bola tampar, ping pong, karom, dam, badminton, sepak takraw, tarik tali dan congkak.

“Pasukan Terengganu pernah mencipta hatrik kemenangan sejak 2010 bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan naib juara selepas tewas kepada tuan rumah iaitu Johor pada musim lalu,” katanya.

Atlet begitu teruja dengan kemenangan berkenaan setelah ditewaskan Johor pada musim lepas.

Ahmad Suhaily berkata, kemenangan merampas kembali kejuaraan pada temasya kali ini membuktikan pasukan Terengganu mempunyai semangat juang yang tinggi.

“Terengganu juga meraih kejayaan menerusi olahragawati kategori sekolah rendah yang dimenangi Siti Nur Hajar Ahmad.

“Kami juga menjadi juara bagi lima acara dan tujuh acara sebagai naib juara. Hanya satu acara tidak menyumbang pingat iaitu congkak,” katanya.

Ahmad Suhaily (kanan) menerima cenderamata pada Temasya Sukya Kebangsaan ke-11/2018.
 

Pertaruh 200 atlet

Menurutnya, pada edisi kali ini Terengganu mempertaruhkan seramai 200 atlet melibatkan 140 lelaki dan 60 perempuan dalam kesemua 12 acara yang dipertandingkan.

“Untuk kejohanan kali ini kami membuat persiapan rapi sejak dua bulan lalu berpusat di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN) selepas mengadakan sesi pemilihan di peringkat negeri sebelum itu.

“Selain latihan di SSTBN, kita juga menjalinkan kerjasama dengan Muzium Negeri Terengganu bagi acara congkak manakala Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam acara dam dan juga karom,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Suhaily mengucapkan terima kasih kepada semua atlet, jurulatih dan mereka yang terlibat sehingga mencapai kejayaan cemerlang pada Temasya Sukya Kebangsaan ke-11/2018.

Pencapaian pasukan Terengganu amat membanggakan.

Perbarisan dari pasukan Terengganu juga menyumbang pingat.

Sumbang 80 pingat menjadikan pasukan Terengganu sebagai johan Temasya Sukya Kebangsaan ke-11/2018.