“Maaf jurulatih dan semua rakyat Malaysia yang hadir beri sokongan malam ini (malam tadi). Saya sudah berikan yang terbaik. Itu saja yang boleh saya lakukan,”

Itu kata pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang gagal dalam misinya memenangi gelaran treble di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila hanya berada di kedudukan
keempat acara 200 meter, malam tadi.

Khairul Hafiz yang muncul manusia terpantas di Asia Tenggara selepas memenangi emas acara 100 meter dengan mengenepikan juara edisi lalu, Eric Cray dari Filipina kelmarin gagal
mengulangi rentak larian apabila hanya menamatkan larian dengan catatan 21.28 saat.

Emas menjadi milik pelari Filipina, T Anthony Beram dengan 20.84 saat manakala Jirapong Meenpra dari Thailand meraih perak selepas menamatkan perlumbaan dengan 21.22 saat.

Bagaimanapun Malaysia memastikan nama atletnya menaiki podium selepas Thevarr Gunasegaran meraih gangsa dengan catatan 21.26 saat.

Khairul Hafiz berkata, beliau mengalami sedikit kecederaan ketika turun beraksi dalam acara itu, namun enggan menjadikan ia alasan sebaliknya menganggap rezeki tidak berpihak
kepadanya.

“Ya, memang saya berlari dalam kesakitan, tapi itu bukan alasan kegagalan ini. Pada saya kita cedera atau pun tidak, jika ALLAH tetapkan rezeki itu ia akan menjadi milik kita
dan sebaliknya.

“Malam ini, saya sudah berlatih, berusaha tapi ALLAH tidak mengizinkannya, mungkin ada rezeki lain selepas ini,” katanya.