Mahu membuktikan arena memanah bukan hanya didominasi golongan lelaki menjadi motivasi buat pemanah cilik dari Johor yang bertekad mahu menempa nama di peringkat dunia satu hari nanti.

Pemanah Johor, Alia Qursyiah Mazlan, 12, mempunyai hasrat itu selepas mula menceburkan diri dalam sukan tersebut sejak dua tahun yang lalu selain turut dinobatkan sebagai ikon memanah remaja di Johor Bahru.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan (P) Sultan Ibrahim itu juga kini merupakan atlet pelapis Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) selepas dua kali melayakkan diri beraksi di peringkat kebangsaan untuk acara memanah bagi kategori bawah 12 tahun.

“Pertama kali saya melibatkan diri dalam sukan ini memang terus meminatinya. Saya rasa saya boleh pergi jauh lagi dan mempunyai peluang besar jika terus berusaha.

“Lagipun sukan ini memang kekurangan atlet wanita, kalau boleh saya nak beraksi hingga ke peringkat antarabangsa. Tapi apapun semua ini tidak boleh hanya cakap kosong, saya perlu buktikannya.

“Kalau lelaki boleh, saya pun boleh. Saya mahu buktikan sukan ini ada ruang untuk golongan wanita dan tidak mustahil boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Jemputan Memanah Peringkat Negeri Johor di SK (P) Sultan Ibrahim.

Alia Qursyiah ketika menjalani latihan memanah.

Alia Qursyiah berkata, masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk meningkatkan prestasi diri namun ia tidak menjadi penghalang kerana sering disokong orang sekelilingnya.

“Saya bertuah kerana di sekolah saya ada slot untuk atlet memanah. Menerusi itu saya mempunyai ruang untuk terus berlatih sekali gus mengasah bakat untuk menghadapi kejohanan yang mendatang.

“Semestinya pihak sekolah dan tenaga kejurulatihan kelab memanah yang saya sertai banyak memainkan peranan dalam perkembangan bakat saya. Jadi satu cara untuk membalas jasa mereka iaitu berusaha keras,” katanya.

Siapkan diri hadapi kejohanan

Anak bongsu daripada empat beradik itu turut memberitahu dia juga sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi beberapa kejohanan yang dijadualkan.

“Sekarang ini memang saya berlatih saja, kalau boleh saya nak menguatkan lagi fizikal serta mental saya untuk memudahkan saya adaptasi tekanan ketika beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

“Jadi latihan sekurang-kurang dua jam sehari diperlukan, ayah saya turut membantu ketika latihan terutama membabitkan teknik membaca angin dan pernafasan,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, pendedahan akademik turut dititikberatkan bagi membolehkan dia mendapat keputusan yang baik untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi.

Alia Qursyiah merupakan bekas atlet di bawah Program Bakat Pelapis MSNJ serta merupakan pemegang pingat gangsa bagi acara memanah kategori bawah 12 tahun dalam Temasya Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Perlis, baru-baru ini.

Alia Qursyiah (tengah) bersama ibu bapanya ketika mewakili Johor dalam Kejohanan MSSM baru-baru ini.
 

Sekolah beri sokongan

Sementara itu, Guru Besar SK (P) Sultan Ibrahim, Faridah Sukiran berkata, pihak sekolah sentiasa memberi peluang kepada perkembangan murid tidak kira daripada aspek akademik atau sukan.

“Sukan memanah merupakan antara sukan utama untuk sekolah ini, jadi apa jua peluang serta platform yang ada untuk murid kami berkembang, kami sentiasa memberikan sokongan.

“Lagipun kami bertuah kerana mempunyai kelab memanah profesional yang diuruskan sepenuhnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Jadi selain dapat bekerjasama, hubungan antara sekolah dan keluarga pelajar dapat dieratkan,” katanya.