BOTA - Bagi melahirkan pelapis muda sukan badminton, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Teluk Kepayang menubuhkan Akademi Muda Kelab Badminton Teluk Kepayang.

Ketua Kampungnya, Meor Ismail Kamarudin berkata, akademi itu dianggotai 28 peserta berumur 18 tahun ke bawah.

Menurutnya, pihaknya berhasrat melahirkan pemain badminton yang berjaya dan ia perlu bermula dari awal.

“Jadi akademi ini melatih anak-anak kampung seawal usia sekolah rendah lagi supaya mereka dapat bermain dengan baik kelak,” katanya.

Beliau berkata, akademi itu sudah ditubuhkan sejak setahun lalu, namun baru sahaja dilancarkan Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan pada pertengahan bulan lalu.

Katanya, dari segi latihan, pada musim cuti sekolah, ia diadakan setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala waktu persekolahan akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad.

“Pada masa kini yuran dikenakan mengikut kemampuan ibu bapa kerana kita mahu anak-anak kampung ini ada aktiviti yang boleh dilakukan,” katanya.

Presiden akademi, Mior Shahrin Mior Mohd Yusop berkata, akademi itu mempunyai jurulatih bertauliah.

"Jika usaha dilakukan bersungguh-sungguh pasti ada peserta boleh berjaya. Kami juga dapat sokongan ibu bapa.

“Walaupun dari segi gelanggang kami masih belum memenuhi standard sepatutnya, kami akan cuba mendapatkan kemudahan berkenaan akan datang.

“Terima kasih pihak yang banyak menyokong serta menghulurkan dana termasuk Ahli Parlimen Parit,” katanya.