KOTA BHARU - Kelab High Kicks Taekwondo dari Kelantan mengharumkan nama negara pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Antarabangsa Piala Song Ki Yong kali ke-15 yang berlangsung di Universiti Prince of Songkla, Hatyai, Thailand.

Kelab itu yang mempertaruhkan 10 atlet terbaik mereka, berjaya membawa pulang lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa.

Alia Safura Soufa menghadiahkan emas pertama apabila kanak-kanak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Pulau Melaka itu memenangi kategori 15 hingga 18 kilogram (kg) bawah enam tahun disusuli emas kedua oleh Qaisara Zaharuddin (20-23kg).

Emas ketiga diraih murid Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A’ishah Puteri, Nurul Syahirah Diniy Mohd Asri yang mencatatkan kemenangan bergaya 13-1 ke atas peserta Thailand dalam kategori 11 hingga 12 tahun (36-39kg).

Siti Nooradriana Batrisya Bukhari meneruskan rentak cemerlang apabila mengutip temas keempat setelah mengalahkan peserta tuan rumah dengan keputusan 14-0 dalam kategori sembilan hingga 10 tahun (41 kg ke atas) disusuli emas terakhir menerusi Tengku Arifah Syathirah Tengku Mohammad Ariff, kategori 15-17 tahun.

Pingat perak pula diraih Wan Roihan Wan Roslan dalam kategori 13-14 tahun, sementara empat gangsa masing-masing disumbangkan Syafiqah Yasmin Soufa, Muhammad Imran Haikal Ruslan Fadzil, Qistina Zaharuddin dan Nur Shuhaida Mahidin.

Kejohanan tahunan anjuran Kelab Taekwondo Song Ki Yong, Pattani itu disertai 580 peserta dari beberapa negara termasuk Kemboja, Malaysia selain tuan rumah, Thailand.

Aksi Nurul Syahirah Diniy ketika final Kejohanan Taekwondo Jemputan Antarabangsa Piala Song Ki Yong kali ke-15 yang berlangsung di Universiti Prince of Songkla, Hatyai, Thailand.

Ketua jurulatih Kelab High Kicks Taekwondo, Muhammad Sufi Yusof berkata, kejohanan tersebut merupakan paling sukar pernah disertai barisan atlet mereka tahun ini.

“Namun atlet kita telah buktikan sebaliknya apabila mampu bersaing dengan peserta lebih hebat di persada antarabangsa.

"Lima emas, satu perak dan empat gangsa merupakan satu pencapaian terbaik diraih kelab ini dalam kejohanan itu,” katanya semalam.

Muhammad Sufi yang turut dibantu dua pegawai pengiring, Siti Rosilawati Othman dan Asma Mohamed turut mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan atas sokongan kepada kelabnya.

“Selain itu, pengetua, guru besar sekolah dan ibu bapa juga turut memainkan peranan masing-masing dengan memberi sokongan berterusan dalam membangunkan sukan taekwondo khususnya di negeri ini,” katanya.

Qaisara dan Alia Safura menunjukkan pingat emas masing-masing.

Aksi Siti Nur Adriana semasa ketika final.

Qaisara dan Alia Safura bersama Ki Yong.