KOTA BHARU - Kelantan meraih tempat ketiga terbaik kategori bawah 12 tahun lelaki Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang  berlangsung di Ipoh, baru-baru ini.

Pada penentuan tersebut, Kelantan mengejutkan juara tahun lalu, Johor 2-0 sekali gus menebus kekecewaan tewas  kepada tuan rumah, Perak dalam pertemuan separuh akhir sebelum itu.

Kejayaan itu turut dikongsi bersama Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat merangkap ketua kontinjen, Che Husin Che Soh, Penyelia Sukan  PPD berkenaan, Zul Zura Ariffin dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Nik Mood Nik Mat.

Terdahulu, skuad kendalian Hasrul Faizal Hashim beraksi cemerlang dalam  perlawanan pembukaan peringkat kumpulan apabila membelasah Johor 4-0 dan terikat 1-1 ketika berdepan Terengganu.

Kelantan terus mencipta sensasi apabila menyingkirkan Pahang 1-0 pada  aksi suku akhir namun perjuangan mereka disekat Perak dalam separuh akhir setelah tunduk 1-2 dalam pukulan penalti shoot out setelah terikat 2-2 dalam masa permainan sebenar.

Sementara itu, pengurus pasukan, Muhammad Nasution Noh berkata,  kekalahan kepada Perak dalam separuh akhir disebabkan faktor teknikal yang menyebabkan barisan pemain kepenatan dan hilang fokus semasa perlawanan.

“Insya-ALLAH saya yakin Kelantan akan bangkit memberi saingan pada  edisi akan datang jika kelemahan dan kekurangan dalam penyediaan pasukan berjaya diatasi.

“Walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga namun ia tetap boleh dibanggakan. Saya ucap terima kasih kepada Unit Sukan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), semua PPD dan guru besar sekolah terlibat yang memberi sokongan kepada pasukan ini” katanya.

Dalam pada itu, Hasrul Faizal memberitahu, gabungan pengurusan daripada tiga daerah berjaya merangka persiapan rapi bagi membentuk skuad terbaik menggalas cabaran negeri dalam kejohanan itu.

“Kali ini Kelantan diperkuatkan lapan pemain dari Tumpat, empat  Bachok, tiga masing-masing Kuala Krai dan Pasir Mas. Mereka didedahkan dalam beberapa kejohanan terbuka peringkat kebangsaan sehingga berjaya memberi saingan kepada negeri lain.

“Saya optimis mereka akan berjaya di peringkat sekolah menengah nanti," katanya.