PORT DICKSON - Siapa sangka, hanya bermula dengan berlari mengejar dan menjaga beberapa ekor lembu peliharaan bapanya, S Kuhanesan, 11, kini antara atlet digeruni bagi acara pecut 100m, 4x100m termasuk merentas desa.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, dia mula membantu keluarganya menjaga lembu peliharaan ayahnya sejak berusia 4 tahun.

"Sejak berumur 4 tahun, aktiviti petang saya adalah mengejar dan menghalau sekawan lembu ke tempat makan serta masuk ke kandang.

"Bila saya mula ke sekolah, semasa aktiviti sukan, saya beranikan diri sertai lumba lari dan cikgu tengok saya ada potensi untuk diketengahkan.

Kuhanesan mula berlari pada usia empat tahun.

"Saya gembira kerana banyak pertandingan yang disertai ini dapat banyak kemenangan," katanya sambil mengakui sehingga kini masih mengamalkan aktiviti petang dengan mengejar lembu ternakan bapanya.

Baru-baru ini, pelajar tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Port Dickson ini berjaya menduduki tempat ke-14 daripada lebih 2,000 peserta Larian Za'ba Peringkat Kebangsaan di Kuala Pilah.

Kuhanesan berkata, dia akan terus berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan stamina agar lariannya bertambah baik dan cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kuhanesan bersama sijil dan medal ketika mendapat tempat ke 14 daripada 2,000 peserta semasa Larian Zaaba Peringkat Kebangsaan di Kuala Pilah, baru-baru.

"Cikgu-cikgu memang sangat menyokong, beri galakan kepada saya serta selalu melatih dan bawa saya ke pelbagai pertandingan larian," katanya yang menetap di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang di sini.

Peroleh dorongan bapa

Melihat kejayaan demi kejayaan dikecapi Kuhanesan, bapanya S Sivakumar, 42, akui pada awal dia tidak percaya dengan kebolehan anaknya dalam arena sukan.

Kata Sivakumar, dia kini sangat menyokong minat anaknya itu dan menjadi peminat nombor satu Kuhanesan.

“Saya sendiri tidak pasti kenapa, mungkin kerana dalam keluarga saya tidak ada yang aktif dalam sukan jadi saya kurang pendedahan tentang itu.

“Tapi dengan kejayaan demi kejayaan yang dipamerkan Kuhanesan dan sokongan moral dan nasihat daripada guru SK Pasir Panjang, menyedarkan saya dan kini memberi sepenuh dorongan kepada anak saya ini,” katanya.

Sivakumar berkata, selain aktif dalam sukan larian, Kuhanesan juga melibatkan diri dalam pasukan bicara berirama sekolah.

Kuhanesan juga aktif dalam pasukan Bicara Berirama.

“Selain menitikberatkan kecemerlangan akademik, penglibatan dalam sukan dan kokurikulum juga sebenarnya sangat baik kepada kemenjadian anak saya dan murid lainnya.

“Terima kasih guru besar sekolah, Md Izzuddin Mohd Shah dan semua guru sekolah yang tidak jemu menggilap bakat anak saya dan seluruh murid SK Pasir Panjang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kuhanesan juga baharu sahaja selesai mewakili Negeri Sembilan ke Pertandingan Merentas Desa Kebangsaan dan memperoleh tempat ke-4.

Kuhanesan mendapat sokongan daripada bapa dan guru-gurunya.