MILO dengan kerjasama Kementerian Pelajaran (KPM) dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSSM) menganjurkan Anugerah Sukan KPMMSSM–MILO 2018, di Putrajaya baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan Milo dan Susu, Nestlé Products Sdn Bhd, Kumaran Nowuram berkata, penganjuran anugerah tersebut menunjukkan komitmen Milo untuk memperkasakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia yang telah dilaksanakan sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, seiring dengan matlamat Milo untuk memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk maju bersama sukan mereka telah melancarkan Milo Aktif Negaraku.

“Tahniah kepada juara-juara kami ini dan berharap agar kejayaan yang ditempa akan terus membakar semangat mereka,” katanya.

Antara penerima anugerah sempena majlis anugerah sukan itu bintang skuasy, Aifa Azman yang menerima Anugerah Emas dan Eddy Bernard menerima Anugerah Pendidikan Khas Putera.

Selain itu, pemenang Anugerah Pendidikan Khas Puteri pula ialah Lalitta Boon Ong yang aktif dalam olahraga manakala Anugerah Guru Berjasa Lelaki dimenangi Ganesh Raza kerana sumbangannya melatih atlet sukan.