PENJARING terbanyak Kejuaraan AFC Bawah 16 tahun 2018, Luqman Hakim Shamsudin terpilih kesebelasan terbaik Piala Sanix 2019 sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya pemain negara menerima anugerah tersebut di Global Arena, Fukuoka, Jepun semalam.

Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada berkata, Luqman terpilih melalui undian menerusi ketua jurulatih setiap pasukan yang bertanding dan pemilihan itu dibuat berdasarkan kepantasan serta kemahirannya mengendalikan bola dalam setiap perlawanan.

“Sebagai penaja skuad negara dalam pertandingan ini, saya begitu gembira dengan pemilihan Luqman dalam membarisi kesebelasan utama terbaik kejohanan pada kali ini.

"Saya juga gembira dengan prestasi skuad negara kali ini yang telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu. Saingan tahun ini juga  amat mencabar dengan penglibatan ramai pemain kebangsaan Jepun serta kelab terbaik seperti Kashima Antlers dan Aomori Yamada," jelasnya.

Sementara itu, Luqman yang nyata  gembira dengan pemilihannya untuk membarisi kesebelasan terbaik Piala Sanix 2019 itu menyifatkannya sebagai sebagai satu motivasi untuknya berusaha dengan lebih gigih untuk menjadi pemain yang terbaik dan mengakui bersedia untuk berhijrah sekiranya mendapat tawaran dari mana-mana kelab yang berminat.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kejayaan ini. Kami telah berusaha sehabis baik untuk kejohanan pada kali ini. Pengalaman bermain di sini sangat berharga kerana kami bersaingan dengan kelab-kelab terbaik di Jepun.

"Saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menjadi pemain bola yang terbaik dan ini adalah pencapaian kedua terbaik dalam karier saya selepas menerima Anugerah Penjaring Terbanyak B-16 AFC tahun lalu," katanya.