KUANTAN - Lima tonggak kebangsaan dalam pasukan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) memberi kelebihan kepada pasukan itu menewaskan MSS Kedah 17-15 pada perlawanan akhir kategori cup Kejohanan Ragbi Bawah 12 dan 18 tahun Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di stadium kompleks sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Jurulatih, Hafizaini Hassan berkata, dia tidak menolak pengalaman luas lima pemain kebangsaan menjadi penyuntik kepada pencapaian cemerlang MSS Johor musim ini di samping latihan selama seminggu.

Menurutnya, berada dalam Kumpulan P bersama MSS Selangor dan MSS Kuala Lumpur ternyata cabaran sepanjang kejohanan amat tinggi namun kesungguhan
pemain menyebelahi pasukan merebut gelaran juara.

“Cabaran perlawanan akhir begitu mendebarkan apabila kedua pasukan mempamerkan saingan sengit dengan melakukan serangan bagi memperoleh mata.

“Pada musim lalu pasukan bawah 18 tahun MSS Johor hanya mampu melangkah ke peringkat suku akhir namun kali ini dengan semangat tinggi akhirnya berjaya sampai ke perlawanan akhir seterusnya dinobatkan sebagai juara,” katanya.

Hafizaini berkata, kejayaan kali ini MSSM diharap menjadi pembakar semangat kepada semua pemain MSS Johor untuk berusaha lebih gigih seterusnya membuka peluang terpilih mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pemain terbaik MSS Johor Mohd Faiq Islah Mohd Satar berkata, semangat juang yang tinggi menjadi senjata utama melayakkan MSS Johor muncul juara selepas gagal menyerlah musim lalu.

“Kebanyakan pemain yang beraksi kali ini mewakili MSS Johor musim lalu dan pengalaman itu turut menjadi kelebihan kepada kami untuk memberi persembahan terbaik.

“Tidak dinafikan cabaran sengit diberikan MSS Kedah pada perlawanan akhir hampir menutup peluang untuk kami menjulang kejuaraan,” katanya.

Dalam kategori cup bawah 12 tahun MSS Selangor muncul juara, kedua MSS Perak dan ketiga MSS Johor.