Minatnya pada sukan bola sepak tetapi tiada siapa sangka bakatnya lebih menyerlah pada sukan hoki.

Inilah takdir pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11, Mohamad Syabil Aizam Mohamad Noor.

Dia kini yang kini serius dalam sukan hoki dan berazam menjadikannya satu kerjaya satu hari nanti.

Mohamad Syabil yang mesra dengan panggilan Manja berkata, dia tidak menyangka melangkah lebih jauh dalam hoki sehingga terpilih mewakili Kelab MBPJ untuk Liga Junior.

Lebih manis, Manja pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2017.

Katanya, ketika sekolah rendah dia aktif bermain bola sepak dan pernah terpilih mewakili sekolah.

“Bola sepak memang minat saya sejak kecil.. saya mula bermain bola sepak sejak  darjah satu hingga darjah enam dan terpilih mewakili sekolah.

“Saya ingat saya akan jadi pemain bola sepak negara tapi tak sangka pula boleh terjebak dalam hoki,” katanya.

Aksi merampas bola ketika sesi latihan.

Abang dan guru jadi sifu

Katanya, dia mula bermain hoki ketika tahun empat. Pada masa itu dia bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam.

Manja berkata, abangnya Mohamad Syakir, 22, yang ketika itu pemain hoki SMK Seksyen 11 banyak memberi galakan  untuk dia menceburkan diri dalam sukan hoki.

“Dia lihat saya aktif bersukan dan suruh saya main hoki, bila dah pegang kayu hoki rasa seronok pula.. saya mula suka,” katanya.

Sejak itu minatnya dalam sukan hoki mula membara, Manja berusaha  tingkatkan kemahiran. Dengan bantuan guru di sekolah yang tidak pernah jemu menggilap bakatnya akhirnya dia berjaya terpilih mewakili daerah dan negeri Selangor kemudiannya.

Kata Manja yang bermain di posisi penyerang, abangnya yang kini bermain dengan Kelab White Stick Fellas juga menjadi sifu sering mengajar teknik bermain hoki dengan betul.

“Bila kat rumah, kami berlatih sama-sama.. abang banyak bagi nasihat dan memberi semangat sehingga saya mampu menjadi seperti sekarang.

“Kalau abang sifu saya, ayah, ibu dan adik-beradik pula sebagai insan yang memberi galakan dan dorongan berterusan untuk saya terus berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Sesi latihan bersama ahli pasukan di padang hoki MBPJ.

 

Azam mahu serta skuad kebangsaan

Ketika ditanya soal cita-cita, pelajar yang punya semangat juang tinggi ini penuh yakin dia berazam mahu sertai skuad hoki kebangsaan satu masa nanti.

Cita-cita itu katanya, sudah lama tersimpan kukuh dalam jiwanya sejak mula serius menceburi sukan hoki.

“Saya akan berusaha kuat untuk capai cita-cita itu dan saya yakin suatu masa nanti ia akan menjadi realiti.

“Buat masa ini, saya mahu membantu pasukan sekolah mengekalkan kejuaraan pada kejohanan yang akan datang dan sasaran saya mahu jadi pemain terbaik mengulangi kejayaan lalu,” katanya.

Manja (duduk, tiga kanan) bersama pasukan hoki SMK Seksyen 11 dan pihak pengurusan.

 

Tangkas ketika beraksi di padang

Manakala ketua jurulatih pasukan Wan Samsuri Wan Hassan berkata, beliau mengesan bakat Manja di sekolah rendah lagi ketika dia mewakili sekolahnya pada kejohanan hoki enam tahun lalu.

“Saya nampak bakatnya boleh pergi jauh.. dan pada 2013 saya tawarkan dia hadiri sesi pemilihan pasukan hoki sekolah serta kemasukan tingkatan satu ke SMK Seksyen 11.

“Dia terpilih ketika sesi pemilihan yang dihadiri ramai pelajar lain tapi tak semua punya bakat dan potensi untuk diketengahkan,” katanya.

Kata Wan Samsuri, Manja mempunyai kelebihan tersendiri apabila beraksi di padang.

“Dia pandai kawal bola, mempunyai ketangkasan dan ketajaman ketika di hadapan gawang lawan, itu sebab saya letakkan dia di posisi penyerang.

“Ciri-ciri seorang penyerang yang baik ada pada Manja.. pantas dan mampu cari sudut yang baik untuk jaringkan gol,” katanya.

Namun, saya tidak mahu dia mendabik dada, sebaliknya mahu Manja terus meningkatkan prestasi dan mempergiatkan lagi latihan serta mengasah skil.