Johor Bahru - Biarpun baru berusia 10 tahun, pencapaian yang ditunjukkan seorang murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai, di sini, nyata mengejutkan apabila berjaya menjuarai pelbagai kejohanan badminton di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Dania Sofea Zaidi yang dilihat memiliki karakter istimewa serta personaliti lincah di dalam gelanggang juga diyakini mampu pergi jauh dalam sukan nombor satu negara itu sekiranya diberi tunjuk ajar dan laluan yang betul.

Anak pertama daripada dua beradik itu ketika ditemui memberitahu sokongan daripada orang terdekat sentiasa menjadi penguat untuk dia terus mencapai kejayaan dalam sukan tersebut.

“Saya mahu berjaya sebagai seorang pemain yang boleh harumkan nama negara, tapi semua itu masih jauh dan apa yang boleh saya buat sekarang adalah terus berusaha, tunjukkan saya boleh.

“Semuanya atas diri. Ibu dan bapa nasihat, sekiranya mahu sesuatu kita kena bekerja keras. Tapi saya kena imbangkan kerana pelajaran juga penting,” katanya ketika ditemui di SK Sri Skudai, di sini, baru-baru ini.

Jika dilihat daripada fizikalnya, sukar untuk percaya bahawa dia seorang juara badminton tetapi berjaya membuktikannya ketika bertembung di gelanggang.

“Selain badminton saya boleh main sukan olahraga, mungkin sebab itu pergerakan saya dah biasa lincah sedikit, lagipun kalau kita berlatih setiap hari, akan ada hasilnya.

“Sekurang-kurangnya setiap hari saya akan bermain badminton bersama ayah. Kalau tak pun memang saya akan ke dewan badminton di Perling untuk berlatih bersama jurulatih saya, Albert Lim,” katanya.

Dania Sofea

Tempat ketiga MSSM

Bapa Dania, Zaidi Mohamad, 37, berkata, anaknya mula melibatkan diri dalam sukan itu sejak berusia empat tahun dan menunjukkan kemajuan dalam setiap pertandingan yang disertainya.

“Dari umur tujuh tahun dia sudah mula aktif memasuki kejohanan tidak kira di peringkat sekolah ataupun kelab di luar. Saya sebagai bapa hanya memberikannya kebebasan dan sokongan jitu di belakang.

“Hasilnya, awal tahun ini dia berjaya meraih tempat ketiga bagi saingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan,” katanya.

Zaidi berkata, sebelum itu, Dania yang kini memegang gelaran juara badminton remaja bagi kategori bawah 12 tahun peringkat negeri Johor itu turut mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan di luar negara seperti Australia dan Singapura.

“Pencapaian memberangsangkan yang diraihnya sebelum ini juga, menjadi juara bagi kategori perseorangan dan beregu di Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) dan dia dapat gelaran itu ketika berusia 9 tahun.

“Selain itu, baru-baru ini dia bersama beberapa remaja terpilih melalui aktiviti kelab badminton, telah pergi ke Australia untuk mendapatkan latihan dan turut membawa pulang dua pingat emas bagi acara perseorangan dan beregu,” katanya.

Dalam saingan itu anak sulungnya itu turut bertanding bersama atlit dari beberapa negara termasuk Thailand, Jepun dan Singapura.

“Kejohanan di sini memang dia akan masuk. Ini juga antara strategi untuk sentiasa bersaing bersama pemain seusia. Alhamdulillah buat masa ini dia sentiasa memperoleh keputusan yang baik,” katanya.

Dania juga pernah menjuarai acara dalam kategori campuran menentang peserta lelaki bagi kategori bawah 12 tahun.

Perlu modal besar

Bagaimanapun, sudah semestinya bermain dalam sukan itu memerlukan modal yang besar untuk perbelanjaan kelengkapan dan rejim latihan, pihaknya menerima dengan tangan terbuka jika ada sebarang pertolongan daripada luar.

“Buat masa ini sebab Dania hanya beraksi dalam kategori bawah 12 tahun, dia masih belum boleh menerima sokongan daripada badan induk badminton negara, semua perbelanjaannya kini adalah usaha sendiri dan beberapa pihak.

“Itu yang jika ada kejohanan luar, memang kami akan cuba mencari dana dari luar kerana perbelanjaannya memang besar, lagi-lagi kalau di luar negara. Ini adalah pengorbanan dan kami akan berusaha selagi mampu,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menyokong anaknya tidak kira dari aspek tajaan mahupun pembelajaran, terutama pihak sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Persatuan Badminton Negeri Johor.

Sementara itu, Guru Besar SK Sri Skudai, Rosmawati Mohamed berkata, pihak sekolah memberi peluang kepada perkembangan murid tak kira akademik atau sukan.

“Sebagai sekolah taraf Kluster Kecemerlangan, tahap kemenjadian murid merupakan sasaran utama kami sebagai pendidik dan menerusi itu kami di sini sentiasa berikannya galakan,” katanya.