Johor Bahru - Pemain harapan badminton Johor, Dania Sofea Zaidi, 11, nyata mempunyai keistimewaan apabila terus-menerus mendapatkan kejayaan dalam usahanya menjadi seorang atlet profesional pada masa depan.

Pencapaian terbaharunya iaitu menjadi juara termuda Kejohanan Badminton Majlis Sekolah-sekolah Sukan Malaysia (MSSM) di Negeri Sembilan, baru-baru ini ternyata boleh menjadi bukti kesungguhan dalam sukan berkenaan.

Pada saingan itu, Dania berjaya membawa pulang dua pingat emas menerusi kategori perseorangan perempuan dan beregu perempuan bawah 12 tahun.

Lebih manis, kejayaan itu juga sekali gus membantu Kontinjen Johor memperoleh gelaran juara keseluruhan buat pertama kalinya dalam kejohanan berkenaan dengan kutipan lima pingat emas dan tiga gangsa.

Dania berkata, kejayaan membawa pulang dua pingat emas dalam saingan berkenaan adalah sesuatu yang bermakna buat dirinya sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Atlet badminton Johor bergambar bersama dalam kejohanan berkenaan.

Menurutnya, sokongan keluarga, orang terdekat, dan tenaga pengajar juga memainkan peranan besar dalam pembentukan dirinyasebagai atlet yang berdedikasi.

“Mestilah gembira, ia satu penghargaan dan kenangan manis buat saya sepanjang terlibat dalam sukan Juara termuda Kejohanan Badminton MSSM ini. Sememangnya hasrat saya adalah membanggakan semua orang.

“Jauh lagi perjalanan saya, tapi kalau kita yakin dan terus komited semuanya akan menjadi mudah. Saya sukakan sukan ini dan berharap langkah saya akan terus panjang untuk berbakti kepada Johor dan satu hari nanti negara di pentas dunia,” katanya.

Dania berkata, dia juga berharap sokongan orang ramai dapat terus diberikan kepadanya terutama penaja dan mereka yang berkaitan untuk memudahkan perjalanan sukannya.
 

Sementara itu, bapanya, Zaidi Mohamad, 37, berkata, kemajuan yang ditunjukkan anaknya itu adalah satu perkembangan yang progresif dan berharap ia dapat diteruskan.

“Ia satu kebanggaan kepada saya, memang badminton adalah sukan kami bersama, terima kasih kepada semua yang membantu. Memang perjalanan untuk sampai ke tahap ini tidak mudah, tapi kami dapat hadapinya,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian pernah melaporkan perjalanan atlet cilik terbabit yang menyaksikan penglibatannya aktif di peringkat antarabangsa dan domestik.

Antara pencapaiannya adalah memegang gelaran juara badminton remaja bagi kategori bawah 12 tahun peringkat negeri Johor dan turut mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan di luar negara seperti Australia dan Singapura.

Dania juga sebelum ini berjaya meraih tempat ketiga bagi saingan MSSM dan Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan tahun lalu.

Meskipun bertubuh kecil, nyata tidak memberi masalah buat Diana untuk menjuarai acara regu bagi kategori bawah 12 tahun.

Diana dan bapanya, Zaidi (kiri) sebelum memulakan acara regu pada kejohanan berkenaan.

Diana (tiga kiri) bersama rakan regunya ketika menerima pingat emas bagi acara regu.