Meskipun tiada latihan khusus, Nor Hidayah Azwani Sa'ari berjaya merangkul Johan Pertandingan Boling Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Nerus di U-Bowl Bowling Centre, Kemaman baru-baru ini.

Nor Hidayah, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak, Terengganu ini akan mewakili negeri di Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) pada 11 Ogos depan di Perak.

Guru Besar, Kamal Abdullah berkata pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian Nor Hidayah yang begitu cemerlang dan terserlah dalam bidang boling itu.

"Selain imej keluarga, Nor Hidayah juga turut membawa imej sekolah serta Kuala Nerus itu sekali.

"Besar harapan sekolah agar Nor Hidayah berjaya merangkul kejuaraan serta boleh mengembangkan lagi bakat dan potensi dirinya dalam sukan ini," katanya.

Menurut Kamal juga, Hidayah merupakan pelajar sasaran 6A UPSR dan besar harapan guru serta sekolah untuknya berjaya dalam segala bidang yang diceburi.

Penolong Kanan Kokurikulum, Azmi Yahya juga berharap semoga Nor Hidayah terus maju dalam pelajaran dan sukan yang diceburi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Nor Hidayah berasa sungguh gembira dengan kemenangan itu dan teruja untuk mewakili negeri bulan hadapan.

"Sekarang saya giat menjalani latihan di Terengganu Equestrian Resort (TER) Bowling Centre, Kuala Terengganu sebagai persediaan ke sana nanti.

"Saya akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pingat emas dan mengharumkan nama sekolah serta negeri, Insya-Allah," katanya.