SUNGAI PETANI- Muhammad Norzuhaiqal Norzulhami, 15, dari SMK Khir Johari Sungai Petani menjadi idola dan kebanggaan sekolah dan Daerah Kuala Muda apabila muncul sebagai atlet pertama sekolah tersebut yang berjaya mencipta rekod baharu Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dalam acara 100 meter kelas dua.

Pelajar itu mencatat 10.91 saat di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Daerah (MSSD) Kuala Muda dan Yan yang diadakan baru-baru ini.

Catatan masa tersebut berjaya memecahkan rekod lama MSSM yang dibuat pada tahun 2005 dengan catatan 10.99 saat.

Selain berjaya merangkul pingat emas dalam acara tersebut, Norzuhaiqal juga berjaya merangkul pingat emas dalam acara 200 meter, sekali gus membantu SMK Khir Johari muncul juara keseluruhan kejohanan apabila berjaya mengumpul 23 pingat emas, 17 pingat perak dan enam pingat gangsa.

Beliau juga diisytiharkan sebagai Peserta Terbaik Kelas Dua Lelaki dan dinobatkan sebagai Olahragawan kejohanan 2018.

Anak yatim daripada tiga beradik ini melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ibunya Rashidah Hashim yang membesar, memelihara dan mendidiknya menjadi seorang anak yang baik dan taat kepada keluarga dan guru.

Ayahnya meninggal 15 tahun lalu iaitu tahun beliau dilahirkan.

Ketika ini, ibunya menyara keluarga dengan bekerja menjual kuih yang diletakkan di beberapa gerai makan sekitar bandar Puteri Jaya Sungai Petani.

“Ibu banyak memberi galakkan kepada saya dan sentiasa mengambil berat terhadap diri saya kerana saya merupakan anak bongsu dalam keluarga.

“Jika ada latihan atau aktiviti sukan di sekolah ibu selalu menghantar saya ke sekolah dan mengambil saya semula pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, para guru juga merupakan aset penting dalam membentuk masa depannya.

“Selain itu guru-guru dan jurulatih banyak memberi tunjuk ajar dan membantu saya untuk lebih cemerlang dalam aktiviti olahraga dan kemajuan saya dalam bidang akademik.

“Terima kasih semua guru yang banyak membantu dan mengajar saya sehingga berjaya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga sekolah, Lim Chew Peng ketika ditemui menjelaskan bahawa Norzuhaiqal merupakan seorang pelajar yang baik, berdisiplin dan patuh kepada setiap tunjuk ajar dan teguran guru.

Beliau berkata, bakat dan kebolehan yang ada pada Norzuhaiqal diharap akan membantu dirinya untuk muncul sebagai atlet yang bakal cemerlang dan mampu membantu negara pada suatu hari nanti dalam acara 100 meter.

Pengetua sekolah, Idris Osman pula menyifatkan kejayaan Norzuhaiqal ini menjadi satu sejarah bukan sahaja untuk diri dan sekolahnya, tetapi juga mewakili semua pelajar seluruh negara.

“Ini adalah contoh kepada rakan sebaya dan seangkatan dengannya kerana beliau merupakan satu-satunya pelajar yang mampu mencipta kejayaan sedemikian.

“Pihak sekolah menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berusaha membantu Norzuhaiqal khususnya dalam bidang olahraga agar bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya dapat ditingkatkan lagi untuk masa akan datang.

“Bagi saya, beliau bukan sahaja merupakan aset kepada sekolah tetapi juga menjadi aset yang besar kepada negara untuk masa depan dan menjadi pelapis untuk kejohanan peringkat antarabangsa yang lebih besar," katanya lagi.