SEREMBAN – Walaupun baru setahun jagung, namun Nur Maisara Mohd Azlan Shah, 11, telah mencipta nama dalam kejohanan skuasy antarabangsa.

Dia yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban 2B, di sini, kini berada di kedudukan 15 pemain Asia bagi kategori bawah 13 tahun, tempat ketiga peringkat kebangsaan dan pertama peringkat negeri.

Berkongsi cerita mengenai pembabitannya dalam sukan tersebut, Nur Maisara berkata, dia mula bermain skuasy ketika berusia tujuh tahun selepas tertarik untuk mencuba sukan itu semasa jurulatih sukan berkenaan melawat sekolahnya.

"Saya pada awalnya hanya mahu mencuba, tapi tak sangka pula lulus ujian pencarian pemain skuasy diadakan jurulatih tersebut.

"Sejak itu saya mula bergiat aktif dalam sukan ini, malah ibu bapa juga turut memberi sokongan selepas mengetahui minat saya dalam sukan itu," katanya.

Walaupun selalu sibuk dengan sesi latihan sebagai persediaan untuknya menghadapi pertandingan sama ada dalam negara dan luar negara, namun Nur Maisara tidak lupa tanggungjawabnya sebagai pelajar.

Menurutnya, dia perlu mendisiplinkan diri untuk membahagikan masa untuk mengulang kaji pelajaran.

"Jadual saya memang padat, tapi saya akan pastikan kerja sekolah disiapkan dan ada masa untuk belajar.

"Tapi saya bersyukur kerana keluarga, guru dan rakan-rakan banyak membantu. Saya tidak mahu sekadar berjaya dalam sukan, tapi juga pelajaran," katanya menyimpan cita-cita menjadi pemain skuasy profesional negara suatu hari nanti.

Sementara itu guru besar, Norlida Ayob berkata, kejayaan Maisara dalam skuasy antara pencapaian terbaik sekolah berkenaan sejak sukan itu diperkenalkan pada 2011.

"Kita juga mengharapkan yang sekolah dapat melahirkan pelapis Nicol David suatu hari nanti sekali gus mengharumkan nama negara," katanya.