Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, 20, atlet petanque negara berasal dari Pahang dan merupakan seorang pelajar Diploma Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional Muadzam Shah, Pahang.

Ikuti temubual eksklusif Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Mohd Aswadi Muhamad bersama Tasnim.

Sejak bila berkecimpung / minat dalam sukan petanque?

Saya mula berkecimpung dalam sukan petanque semasa berumur 12 tahun. Pada masa itu saya telah dipilih untuk menyertai pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Rompin bagi kategori Perempuan bawah umur 12 tahun ke Kejohanan Petanque Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Pahang 2009 yang diadakan di daerah Rompin.

Bakat saya pada masa itu telah dikenalpasti oleh jurulatih saya iaitu Mohd Hafiz Roslan (Pegawai ICT di SK Bukit Ridan).

Selepas menyertai kejohanan ini minat saya mula bercambah kerana melihat sukan ini tidak melibatkan pertembungan fizikal dan hanya memerlukan kemahiran (soft skills) dan keupayaan mengawal mental dan taktikal yang baik boleh memberi peluang kepada mana-mana individu untuk melangkah jauh dalam sukan ini.

Sokongan dan dorongan daripada ibu bapa juga menjadi sebab kenapa saya memilih untuk terus aktif dalam sukan ini.

Saya melanjutkan pengajian peringkat menengah di SMK Muadzam Jaya dan bakat saya terus dikembangkan dengan mewakili daerah rompin dalam kejohanan MSSP pada tahun-tahun berikutnya dengan pencapaian Johan bagi semua acara dipertandingkan.

Pada tahun 2012 semasa saya berusia 15 tahun (tingkatan 3), setelah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun-tahun sebelumnya sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan, saya telah dipilih mewakili negeri Pahang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang telah diadakan di negeri Pahang dan berjaya memenangi pingat perak dalam acara berpasukan wanita dan pingat gangsa bagi acara bertiga wanita.

Saya melanjutkan pengajian saya ke Kolej Vokasional Muadzam Shah pada 2013 dan dari situ saya terus mengembangkan bakat saya dengan menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan kejohanan-kejohanan terbuka yang diadakan di seluruh Malaysia.

Pada SUKMA di Perlis pada 2014 saya juga telah berjaya memenangi pingat emas dalam acara beregu campuran manakala di SUKMA di Sarawak 2016 saya berjaya memenangi pingat perak dalam acara berpasukan wanita dan bertiga wanita.

Saya mula mewakili Malaysia di Sukan Sea bermula pada tahun 2013 di Myanmar. Pencapaian saya adalah memenangi pingat gangsa dalam acara beregu campuran.

Pada tahun 2015 di Sukan Sea Singapura, saya memenangi pingat perak dalam acara bertiga wanita dan pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 saya gagal memenangi sebarang pingat kerana menghadapi masalah pada hari pertandingan (keracunan makanan).

Selain Sukan Sea saya juga mewakili negara dalam kejohanan peringkat antarabangsa antaranya Asean Beach Games 2014 dan 2016, World Women Confederation Cup 2014 di Kuala Lumpur dan berjaya memenangi pingat gangsa bagi acara bertiga wanita.

Pada 2015 juga saya mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia di Perancis dengan pencapaian Semifinalist bagi acara berpasukan wanita. Pada 2015 juga saya menyertai kejohanan 2nd South East Asean Games di Laos saya juga memenangi pingat perak bagi acara shooting wanita.

Pada 2017 juga saya mewakili Malaysia ke kejohanan dunia di Belgium berjaya memenangi pingat gangsa bagi acara beregu campuran.

Harapan kepada sukan petanque?

Harapan saya kepada sukan petanque ialah terus popular di negara kita kerana sukan ini walau pun belum dipertandingkan di peringkat Sukan Asia dan Sukan Olimpik, petanque telah dipertandingkan di peringkat Sukan Sea bermula 2001 sehingga sekarang, ASEAN Beach Games secara dwi tahunan manakala di peringkat asia dan dunia dipertandingkan setiap tahun.

Besarlah juga harapan saya agar sukan petanque diterima sebagai salah satu sukan teras dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia. Ini kerana MSSM melalui MSSD dan MSSN yang menganjurkan pertandingan bagi kategori umur 12, 15 dan 18 tahun adalah medium terawal dan terpenting yang akan dapat mengenal pasti bakat-bakat baru yang terpendam untuk diketengahkan.

Kesinambungan bakat-bakat ini akan diteruskan melalui penganjuran SUKMA. Kesinambungan perkembangnan bakat-bakat petanque ini boleh merujuk jadual di bawah.

Penganjuran    Peringkat Umur    Status Sekarang    Status Di Pohon
MSSM    12, 15 dan 18 tahun    Tiada dalam takwim MSSM    Perlu dimasukkan dalam takwim MSSM
Kejohanan ANGKASA    13 - 19 tahun    Setiap tahun (Bergantung kepada kemampuan kewangan)    Diteruskan setiap tahun
SUKMA    13 - 21 tahun    Dwi tahunan (Sukan pilihan)    Di tukar kepada Sukan wajib
SUKIPT/MASISWA    18 tahun ke atas    Setiap tahun (Bergantung kepada kemampuan kewangan)    Diteruskan
MAKSAK    Badan kerajaan dan badan berkanun    Setiap tahun (Bergantung kepada kemampuan kewangan)    Diteruskan
Kejohanan Antara Negeri    Terbuka    (Bergantung kepada kemampuan kewangan PPM)    Perlu dianjurkan setiap tahun.

Jelas dan terbukti melalui jadual di atas, perkembangan sukan petanque ini perlu dikembangkan agar hasrat negara untuk melahirkan atlet yang lebih kompetitif di peringkat asean, asia dan dunia akan berjaya. Setiap penganjuran di atas sudah pasti akan menjadi  medium mempopularkan sukan petanque kepada global dan platform kepada jawatankuasa kejurulatihan PPM dalam memilih atlet-atlet yang kompetitif dan berdaya saing.

Dengan perancangan yang tersusun daripada PPM dan pendedahan yang berterusan tidak mustahil impian untuk melihat anak Malaysia muncul juara dunia akan muncul tidak lama lagi.

Dan impian saya juga untuk melihat sukan petanque yang sudah mula bertapak dalam Sukan Sea bermula 2001 akan dipertandingkan di Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik suatu hari ini. Ini harapan saya dan seluruh peminat sukan petanque di negara ini.

Pengurus pasukan, Datuk Ab Rahim (paling kanan) bersama jurulatih.

Hubungkait sukan petanque dalam Falsafah Pendidikan Negara dan konteks Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek serta Sosial?

Falsafah Pendidikan Negara adalah panduan kepada negara dalam melahirkan murid masa kini. Justeru itu, adalah sangat wajar sukan petanque ini dimulakan di peringkat sekolah kerana aspek suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu akan tercapai.

Bakat murid di peringkat rendah akan dapat di kenalpasti dan diketengahkan di peringkat menengah seterusnya ke peringkat lain sama ada individu tersebut sambung belajar, bakat bole dikembangkan melalui (SUKIPT/MASISWA) atau di alam pekerjaan (MAKSAK).

Hubungkait antara sukan petanque dan sukan-sukan lain adalah sangat berkait dan semoga pihak berwajib akan dapat melihat perkara ini sebagai salah satu usaha memberi peluang kepada rakyat Malaysia menerokai bidang yang mereka minat dan penyediaan peluang dan ruang akan membantu perkembangan negara yang makmur dan sejahtera.

Dalam konteks jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial boleh dilihat sukan petanque ini memerlukan keupayaan jasmani yang utuh terutama melibatkan pertandingan yang kebiasaan di anjurkan selama 2 hari bagi kejohanan-kejohanan terbuka kebangsaan dan melibatkan 4-10 hari bagi penganjuran seperti MAKSAK/SUKIPT/MASISWA/SUKMA/SUKAN SEA/ASEAN BEACH GAMES/ASIA/DUNIA. Penyediaan jasmani yang sihat dan cergas perlu untuk kompetitif sepanjang tempoh pertandingan.

Emosi adalah komponen penting bagi atlet sukan petanque, dari mula pertandingan sehingga kemuncak pertandingan, kawalan dan kestabilan emosi seseorang atlet sangat penting bagi memastikan tumpuan atlet tersebut dalam keadaan baik.

Ketenangan emosi juga sangat penting terutama semasa di penghujung permainan kerana daripada pemerhatian saya, ramai atlet gagal mengawal emosi di kemuncak saingan menyebabkan mereka gagal mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan.

Justeru itu, emosi dan petanque adalah sinonim dan mana-mana individu yang terlibat dalam sukan petanque mungkin mampu mengawal emosi dengan baik khususnya dalam berdepan situasi kehidupan sebenar.

Aspek rohani juga ada hubungkait dengan sukan petanque kerana dalam setiap pertandingan individu yang terlibat akan akur dengan ketentuanNYA, dalam permainan petanque ini walau telah berusaha sedaya upaya dan berlatih bersungguh-sungguh, kemenangan kadang-kadang tidak menyebelahi dan kita perlu akur dengan ketentuanNYA.

Semasa bermain juga aspek ketenangan iaitu pendekatan diri perlu kuat agar segala gangguan dan minda dalam keadaan terkawal kerana sukan petanque ini juga adalah sukan berfokus.

Intelek juga penting dan ada hubungkait dalam sukan ini, setiap pemain perlu kebijaksaan dalam menentukan strategi permainan agar akan beroleh setiap mata bagi setiap end (giliran) permainan.

Kemahiran sahaja tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan intelek dan kebijaksaan dalam merencanakan taktikal agar kemenangan akan diperoleh.

Akhir sekali, pergaulan antara sesama manusia adalah amat penting bagi seseorang atlet atau untuk meningkatkan diri dalam bidang sukan yang diceburi diceburi terutamanya sukan petanque.

Hal ini demikian kerana, pergaulan yang baik akan membuahkan hasil yang baik, manakala pergaulan yang tidak baik akan membolehkan seseorang atlet atau pelajar mengambil pengajaran dalam hidup mereka.

Kesemua atlit, jurulatih, dan pengurus pasukan petanque.

Harapan sukan di Malaysia terutamanya Petanque dalam menyumbang kembali / timbal balas dalam konteks ekonomi negara Malaysia khasnya?

Seperti yang kita sedia maklum, sukan adalah satu aktiviti yang memerlukan sumber kewangan yang agak besar. Baik penganjuran atau pembinaan kemudahan sukan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa bagi apa jua sukan sudah semestinya melibatkan kos yang tinggi.

Walau bagaimana pun, modal besar yang dibelanja ini boleh di kira berbaloi dengan hasil dan kesan yang menyeluruh kepada pembangunan sukan itu sendiri dan kemenjadian seseorang individu.

Penganjuran sesuatu sukan juga secara tidak langsung dapat membantu pembangunan sesuatu kawasan, negeri atau negara. Contohnya penganjuran Sukan Komanwel 1998 telah membantu terbinanya insfrasturktur sukan bertaraf dunia kepada negara kita.

Kita dapat berbangga dengan pembinaan berbagai kemudahan sukan di kawasan Bukit Jalil dan manfaatnya adalah kepada atlet negara yang dapat menggunakan selepas penganjuran temasya tersebut.

Kos yang tinggi yang telah dibelanjakan adalah berbaloi kerana kemudahan tersebut masih boleh digunakan sehingga sekarang selepas hampir 20 pembinaannya.

Bagi sukan petanque, penganjuran SUKMA khususnya membantu kepada pembinaan kemudahan-kemudahan sukan bertaraf kebangsaan kepada negeri penganjur.

Semua negeri penganjur seperti Terengganu 2008, Melaka 2010, Pahang 2012, Perlis 2014 dan Sarawak 2016 telah menerima tempias hasil pembinaan gelanggang petanque berbumbung yang sesuai untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan secara tidak langsung membantu kepada pembangunan sukan petanque kepada negeri itu khususnya dan kepada negara umumnya.

Pembangunan gelanggang dan penganjuran ini juga dapat membantu kepada mempromosikan kawasan terlibat dan meningkatkan sosio ekonomi masyarakat setempat seperti yang berlaku kepada gelanggang di Pahang yang di bina di kawasan pantai Balok.

Sektor perhotelan, penyediaan makanan dan homestay mendapat tempias hasil penganjuran kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan di gelanggang tersebut.

Kehadiran peminat petanque dari luar negeri Pahang secara tidak langung mempopularkan kawasan pantai Balok yang indah dan menarik untuk dilawati dan dikunjungi.

Begitu juga pembinaan gelanggang petanque di Sarawak sempena SUKMA 2016 yang dibina di daerah Santubong.

Hasilnya dengan kerjasama persatuan petanque negeri yang menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan hampir 2 atau 3 kali setahun membantu mempopularkan kawasan Santubong yang menarik dan penuh sejarah.

Sektor perhotelan, homestay, penyediaan makanan dan pengangkutan juga menerima kesan positif hasil kedatangan peminat petanque dari seluruh semenanjung yang menyertai kejohanan dan secara tidak langsung dapat melihat panorama indah di kawasan tersebut.   

Di peringkat antarabangsa, negara kita juga telah menjadi tuan rumah bagi World Women Confederation Cup pada tahun 2014.

Kejohanan yang telah diadakan di gelanggang petanque Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras ini telah membuka mata banyak pihak bahawa sukan ini boleh membantu perkembangan ekonomi negara kita.

Penganjuran yang melibatkan negara dari juara seluruh benua ini juga membantu mempromosikan negara kita kepada peserta dari negara terlibat.

Hasil penganjuran kejohanan ini juga telah membantu terbinanya gelanggang petanque yang baru bertaraf antarabangsa di Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras selaras dengan penganjuran Sukan Sea Kuala Lumur 2017.

Pembinaan gelanggang ini dilihat dapat merancakkan lagi sektor ekonomi di kawasan Pudu Ulu yang juga merupakan kawasan rekreasi kepada masyarakat setempat.

Penganjuran kejohanan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa akan mempoularkan lagi kawasan ini dan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat khususnya dan ekonomi negara amnya.

Kebijaksaan pihak yang berkaitan akan memastikan gelanggang yang indah dan menarik ini akan terus meriah dengan pertandingan yang akan dianjurkan dari masa ke semasa.

Oleh yang demikian, sukan petanque ini secara tidak langsung dapat memberi tindak balas ekonomi yang positif kepada sesebuah negara, negeri dan kawasan terlibat jika kemudahan yang disediakan diurus dengan baik dan pihak yang berkaitan bertindak proaktif dalam menganjurkan kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan.

Pembangunan yang di salurkan oleh pihak kerajaan melalui sukan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan merancakkan sektor-sektor yang berkaitan.

Tasnim (tiga dari kiri) semasa majlis pembukaan Sukan Sea 2017 yang lalu.

 

Kupasan olahan dalam bentuk motivasi supaya pelajar IPT serta bakal pelajar akan terus cemerlang dalam akademik dan kerjaya disamping keseimbangan dalam bidang sukan / kesihatan diri?

Di beberapa buah negara maju, sukan telah menjadi satu kerjaya yang menjamin masa depan yang cerah kepada atlet yang berjaya di peringkat tertinggi.

Di Malaysia, pembangunan seseorang atlet selalunya bermula di peringkat sekolah sebelum dikembangkan ke peringkat lebih tinggi selepas tamat persekolahan menengah atas.

Dengan sistem pendidikan negara yang holistik, individu akan diberi peluang mengembangkan kebolehan dan potensi diri mengikut kesesuaian.

Individu yang cemerlang akademik akan berpeluang melanjutkan pengajian ke IPTA/IPTS yang terpilih di negara kita.

Bagi individu yang kurang cemerlang dalam bidang akademik, saluran kemahiran disediakan dengan meluas, manakala individu yang cemerlang dalam bidang akademik dan sukan, saluran untuk mengetengahkan lagi bakat boleh diteruskan seperti di sekolah sukan Bukit Jalil, sekolah sukan Bandar Penawar, sekolah sukan Gambang dan banyak lagi sekolah-sekolah sukan yang diwujudkan di seluruh negara.

Pelajar yang terpilih akan berpeluang mengembangkan bakat dan di asuh untuk menjadi pelapis dan mewakili negara pada kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa. Bagi pelajar yang seimbang di antara akademik dan sukan selalunya memilih menyambung pengajian di IPTA/IPTS/Kolej Swasta mengikut bidang yang diminati.

Pada masa ini IPTA/IPTS/Kolej Swasta juga telah membuka peluang seluasnya kepada pelajar mereka yang cemerlang sukan untuk mengetengahkan bakat melalui perkongsian pintar di antara pihak universiti/kolej dan Majis Sukan Negara.

Ini dapat dilihat di mana pelajar yang berpotensi dalam mewakili negara dan masih belajar di beri kemudahan untuk menangguhkan pengajian agar komitmen sebagai seorang atlet dapat memberi tumpuan sepenuhnya sebagai atlet dan dalam masa yang sama akan dapat menamatkan pengajian sebagai pelajar selepas tugasan kepada negara selesai.

Oleh yang demikian tiada alasan untuk pelajar yang terpilih mewakili negara dalam mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik. Jika pandai mengagihkan masa dan mempunyai pengurusan masa yang baik, seseorang pelajar akan dapat menjadi atlet yang berjaya.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Datuk Nicol Ann David, atlet sukan skuasy negara telah berjaya menjadi juara dunia dan pada masa yang sama berjaya memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik.

Contoh terbaik ini boleh dijadikan panduan dan motivasi kepada para pelajar bahawa tiada yang mustahil jika mereka mampu mengagihkan masa dan memberi komitmen yang baik dalam kedua-dua bidang.

Pelajar yang bergelar atlet negara juga selalunya mempunyai peluang kerjaya yang amat cerah di pasaran tempatan. Proaktif dan mempunyai pengalaman dalam komunikasi luar banyak membantu mendapat peluang kerja baik di sektor kerajaan atau swasta.

Malah ada majikan yang masih memberi peluang kepada atlet berkenaan meneruskan peluang mewakili negara tanpa menjejaskan pendapatan kepada atlet berkenaan.

Peluang ini seharusnya diambil peluang oleh atlet berkenaan dan pada masa yang sama memberi komitmen yang baik kepada majikan di luar tugasan sebagai atlet negara.

Keperibadian atlet yang mengutamakan kesihatan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat juga menjadi platform kepada mereka untuk menarik minat sama ada kepada IPTA/IPTS di aalm pengajian dan majikan semasa di alam pekerjaan.

Disiplin atlet dalam hal berkaitan kesihatan diri dan disiplin yang mereka peroleh semasa bergelar atlet membantu mereka menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

Pemikiran strategi untuk berjaya di bidang sukan yang diceburi akan membantu selari keseimbangan akal mengatur strategi berjaya dalam akademik?

Seseorang atlet selalunya akan mengalami berbagai situasi sepanjang bergelar atlet. Proses sebelum bergelar atlet seperti latihan, menyertai pertandingan, berada di pihak yang kalah dan berada di pihak yang menang adalah lumrah sebagai seorang atlet.

Proses ini membantu atlet mempunyai perancangan dan mempunyai motivasi yang tinggi dalam apa jua keadaan. Moral yang rendah selepas kegagalan dan kecederaan, dijulang dan di sanjung ketika berada dalam kejayaan adalah situasi yang selalu di lalui oleh seseorang atlet dalam apa jua sukan.

Kebijaksaan mereka dalam menangani situasi-situasi begini membantu seseorang altet menghadapi apa jua situasi kehidupan harian dengan bijak.

Atlet dengan bantuan jurulatih dan pakar psikologi selalunya sentiasa diberi motivasi dalam apa jua keadaan agar atlet akan berada dalam prestasi terbaik pada masa yang betul seterusnya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu pertandingan.

Kebiasaan atlet dalam berhadapan situasi begini akan membantu mereka khususnya semasa bergelar pelajar. Strategi yang digunakan untuk berjaya dalam sukan boleh di olah menjadi strategi dalam membantu kejayaan dalam bidang akademik.

Tanggungjawab sebagai seorang atlet dan seorang pelajar adalah hampir sama. Sebagai atlet akan berjuang untuk menaikkan nama negeri dan negara, manakala sebagai pelajar akan berjuang untuk menaik dan membanggakan keluarga yang telah banyak berkorban.

Semangat yang diperoleh ketika bergelar atlet yang sentiasa berjuang dalam apa jua keadaan akan diterjemahkan untuk tidak mudah patah semangat semasa bergelar pelajar.

Sistem pengurusan masa yang baik, berkomunikasi dengan baik, pandai bergaul dan tidak malu bertanya juga adalah sifat murni yang perlu ada untuk bergelar seorang pelajar yang berjaya. Semua ini juga telah dilalui semasa bergelar atlet.

Oleh yang demikian, fasa kehidupan seorang atlet akan membantu seseorang individu bergelar pelajar yang berjaya khususnya dalam bidang akademik.

Penetapan matlamat, sistem latihan, pertandingan dan hasil yang diperoleh semasa bergelar atlet juga adalah sinonim dengan fasa kehidupan semasa bergelar pelajar yang melalui fasa penetapan matlamat dalam kehidupan, mengikuti kuliah, peperiksaan dan memperoleh keputusan.

Kebiasaan dalam dua situasi yang berbeza ini akan membantu seseorang pelajar yang mampu mengatur pengurusan yang baik untuk memperoleh kejayaan dalam kehidupan sebagai seorang pelajar dan sebagai seorang atlet.


Oleh:
Mohd Aswadi Bin Muhamad