JANGAN pandang dia budak kecil kerana Adam Yoong Hanifah telah menyumbang pingat emas buat kontinjen negara di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Atlet luncur air berusia 9 tahun itu menuai emas bagi acara trik lelaki selepas meraih 3,860 mata, menewaskan dua peserta lebih dewasa dari Indonesia, Dimas Ridho yang memenangi perak dan Febrianto Kadir yang meraih gangsa.

“Tidak sangka boleh menang emas kerana saya hanya melakukan yang terbaik, tanpa memikirkan pencapaian atlet lain termasuk abang, Aiden,” katanya yang mula berlatih bermain ski air sejak berusia empat tahun.

Menurut Adam, kemenangan itu membakar semangatnya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh bagi mencipta kejayaan lebih gemilang.

Adam juga berharap mampu menjadi atlet sebaik kakaknya, Aaliyah Yoong, yang bukan saja menang tiga pingat emas, malah disenarai sebagai atlet ski air terbaik dunia.

“Saya gembira memenangi acara ini. Saya berikan terbaik, terima kasih atas sokongan semua,” katanya.

Adam Yoong bersama atlet Indonesia, Dimas Ridho Suprihono (kiri) dan Febrianto Kadir (kanan) selepas acara luncur air lelaki terbuka KL2017 di Kompleks Sukan Air Putrajaya,
semalam.

Sementara itu, ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, 14, turut menuai dua pingat emas dalam acara jump dan trick.

Dalam acara jump, Aaliyah merekodkan 32.6m manakala dua atlet Indonesia, Rossi Amir (30.8m) meraih perak dan gangsa, Nur Alimah Priambodo (27.6m)

“Saya bukan pilihan untuk memenangi emas acara jump tetapi saya berjaya lakukan. Saya sungguh teruja kerana melakukan yang terbaik,” katanya.

Bagi acara trick, Aaliyah merangkul kilauan emas meraih 5,880 mata, mengetepikan Sabelle Kee dari Singapura (3,450 mata) untuk perak dan atlet Indonesia Nur Alimah, gangsa selepas mencatatkan 3,380 mata.