GEORGETOWN - Sekolah Sukan Pulau Pinang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian muncul naib juara Piala Dunia Remaja Gothia Cup 2017 Bawah 14 Tahun selepas tewas 3-0 kepada pasukan dari Jepun, Japan Junior League di Shenyang China, Sabtu lalu.

Pengurusnya, Mohd Fauzi Mohd Sirat berkata, pasukan tunggal dari Malaysia ini gagal membuat kejutan namun tetap berbangga kerana berjaya melepasi sasaran muncul empat pasukan terbaik.

Piala yang dimenangi setelah mendapat naib juara Piala Dunia Remaja Gothia Cup 2017 Bawah 14 Tahun.

Menurutnya, penampilan pertama di kejohanan itu bersama lebih 160 pasukan dari seluruh dunia memberi pengalaman berguna kepada semua pemainnya.

“Ini adalah kekalahan pertama sepanjang Piala Dunia Remaja Gothia di China dan walaupun tewas pada perlawanan akhir, pasukan ini sudahpun mencapai sasaran awal yang tetap boleh dibanggakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemain SMK Mutiara Impian sebelum turun pada perlawanan akhir Piala Remaja Dunia Gothia Cup 2017 di Shenyang China.

Jelas Mohd Fauzi, potensi sedia ada pemainnya perlu terus digilap bagi memastikan bakat sedia ada mampu ditingkatkan dari masa ke masa.

“Jika pemain ini dijaga elok dan terus didedahkan pertandingan berprestasi tinggi seperti ini, pasti mereka akan memberi pulangan yang terbaik untuk Pulau Pinang dan Malaysia pada masa hadapan.

"Ini adalah pengalaman mereka yang pertama di peringkat antarabangsa setelah menerima jemputan dari Majlis Olimpik Shenyang China selepas mereka menumbangkan Indonesia pada final pra-kelayakan Gothia Cup 2017 pada Mac lepas.,” katanya.

Kejayaan muncul dua pasukan terbaik Piala Remaja Dunia Gothia Cup 2017 didedikasikan buat negara yang menyambut sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Pada Piala Dunia Remaja Gothia Cup 2017, Penang Black Tigers ini muncul juara Kumpulan 4 selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut mengatasi pasukan dari Australia, Box Hill Soccer Club dan tiga pasukan tempatan.

Di peringkat suku akhir, mereka berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Sekolah Sukan Shenyang 4-0 manakala di separuh akhir SMK Mutiara Impian terus melakarkan kejutan dengan menjinakkan pasukan dari Hong Kong, Chelsea Soccer School 4-1.