Perenang wanita negara, Carmen Lim tidak akan menjadikan kecacatan sebagai alasan untuk melupakan impiannya bergelar seorang peguam.

Kata beliau, sukan hanyalah aktiviti untuk mengisi masa lapang kerana fokus utamanya adalah pelajaran dan akan menduduki GCE ‘O’ Level di Sekolah Sri Garden Kuala Lumpur selepas ini serta dijadualkan melanjutkan pelajaran di England.

“Saya terlibat dalam sukan ini ketika di sekolah dan dari situ saya mula berminat. Walaupun sudah bergelar atlet, saya tidak akan lupakan cita-cita untuk menjadi peguam dalam bidang perniagaan.

“Saya mungkin akan melanjutkan pelajaran ke luar negara bagi merealisasikan impian bergelar peguam,” katanya ketika ditemui selepas meraih perak dalam acara 100m gaya bebas S8 dengan merekodkan 1 minit 29.75 saat pada hari pertama renang dipertandingkan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Acara 100m gaya bebas S8 dimenangi perenang Thailand, Thongbai Chaisawa selepas mencatat 1:28.99s dan gangsa milik perenang Indonesia, Nor Aimah 1:34.54s.

Mengulas lanjut, Carmen akui kesilapan teknikal hingga menyebabkan dia tertelan air ketika beraksi merencatkan kuakan renangannya dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Bagaimanapun beliau yang cacat sebelah tangan kiri sejak dilahirkan enggan berputus asa dan janji akan bangkit dalam acara 50 meter gaya bebas, Khamis ini.

“Saya tahu kekuatan perenang lain tapi saya janji akan memberi yang terbaik demi negara,” katanya lagi.

Atlet negara Carmen Lim (kiri) memenangi pingat perak bergambar bersama pemenang pingkat emas Thongbai Chaisawas (tengah) dan pemenang pingat gangsa Nor Aimah (kanan) bagi acara 100m renang gaya bebas kategori wanita S8 Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Akuatik Kebangsaan Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama