KULAI - Baharu berusia 16 tahun, namun pelajar tingkatan empat ini nekad menceburi sukan motorcross secara serius dengan mengikuti perlumbaan di seluruh negara termasuk mewakili negara ke peringkat Asia sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohammad Izzul Rafiqqi Mohammad Rozi tetap tidak selesa dengan pencapaian yang diperoleh kerana mahu mengejar cita-cita mencipta nama sebagai penunggang motosikal lasak disegani.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sheh Barakbah, Jawi, Pulang Pinang mula menceburi sukan berkenaan sejak berusia 8 tahun kerana ayahnya Mohammad Rozi Shahari, 46, juga terlibat dalam sukan itu sejak 20 tahun lalu.

“Pencapaian tertinggi saya menjadi juara di Thailand dua tahun lalu dan mendapat tempat keempat di Palembang Indonesia pada tahun lalu," katanya.

Dia menyertai kategori MX Junior iaitu 16 tahun ke bawah pada Kejohanan Johor Motorcross Series 2017 bagi Pusingan kedua di Litar Motorcross Kulai berdekatan Hutan Bandar Kulai, di sini, semalam.

Muhammad Shahrul Hakim (kiri) bersama adiknya Muhammad Iqbal Iman Alif.

Bagi Mohammad Rozi pula, dia dapat melihat potensi anak keduanya daripada tiga beradik itu sejak awal dan terus memberi galakan.

“Saya bawa dia berlatih di Sungai Petani, Kedah pada setiap Sabtu dan Ahad," katanya.

Sementara itu, dua beradik Muhammad Shahrul Hakim Shah Rudin, 12, dan Muhammad Iqbal Iman Alif, 9, turut mencuri tumpuan dalam kejohanan itu apabila menjadi peserta untuk kategori MX Cadet iaitu 12 tahun ke bawah.

Mereka murid Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor, Pagoh, Muar turut tersenarai dalam program pembangunan sukan Johor untuk sukan berkenaan.