PELARI muda negara, Nurul Wardatul Huwaida Hamka bangkit daripada kecederaan hamstring untuk mengungguli acara 200 meter (m) wanita pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Perak All-Comers di Stadium Perak, Ipoh kelmarin.

Meskipun baru pulih daripada kecederaan dialaminya dua minggu lalu, atlet kelahiran Kuala Nerus, Terengganu itu menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencatat masa 26.27 saat (s), sekali gus menewaskan rakan sepasukannya, Siti Zulaikha Ramli (26.35s) yang meraih pingat perak.

Pelajar tingkatan 4 ini yang mewakili Terengganu berkata, dia terpaksa berusaha keras bagi memastikan kecederaan dialami tidak mengganggu fokusnya.

"Saya cuma sedikit sedih kerana gagal memecahkan rekod peribadi 25.95s. Mungkin faktor cuaca atau saya masih lagi risau dengan kecederaan yang baru sahaja sembuh.

"Saya menganggap kejohanan ini sebagai pentas pemanas badan selepas kecederaan dan akan bekerja keras untuk mencatat masa lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Nurul Wardatul (kiri) yang mewakili Terengganu ketika beraksi dalam acara 200 Meter wanita pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Stadium Perak, semalam.

Pada masa sama, Nurul Wardatul turut berharap dia tersenarai mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) di Indonesia, Julai depan.

"Selepas ini, saya akan beraksi pada Kejohanan Majlis Sukan Terengganu dan saya harap banyak pihak dapat menilai kemampuan saya untuk mewakili negara pada tahun ini,” katanya.

Pingat gangsa menjadi milik atlet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sharifah Amesha Syed Yazid\ yang mencatat masa 26.94s.