BIARPUN baru sembuh daripada kecederaan buku lali, namun itu bukan penghalang untuk pelajar tingkatan lima Goh Jin Wei menghadiahkan emas kepada skuad badminton apabila mengetepikan rakan senegara di final, semalam.

Pada aksi yang membabitkan dua pemain Malaysia itu, Jin Wei menewaskan Soniia Cheah yang turun selaku pilihan keempat dengan keputusan 21-11, 21-10.

Jin Wei berkata, beliau sangat berpuas hati dapat menebus kekecewaan dua tahun lalu di Singapura apabila sekadar meraih gangsa.

“Saya sangat gembira untuk prestasi hari ini (semalam). Pada awal saya sedikit tertekan kerana terlalu mahu menang emas tapi pada masa sama tak jangka dapat beraksi dengan baik walaupun baru sembuh dari kecederaan.

"Saya rasa sangat bertuah dan kali ini rezeki memihak saya,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Jin Wei meraikan kejayaan selepas mengalahkan rakan senegara, Soniia Cheah pada perlawanan akhir perseorangan wanita KL2017 di Bukit Jalil, semalam.

Juara remaja dunia 2015 itu juga berkata, pingat emas tersebut adalah hadiahnya buat seluruh rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong saya selama ini. Bagi rakyat Malaysia, pingat ini adalah hadiah untuk anda semua,” katanya lagi.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian 14 tahun negara meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita.

Jin Wei (kanan) dan Soniia Cheah, pemenang pingat emas dan pemenang pingat perak, Badminton Perseorangan Wanita Sukan Sea KL 2017 di Axiata Arena, KL Sports City, Bukit
Jalil, semalam.

Malaysia kali terakhir meraih emas acara itu melalui Datin Wong Mew Choo iaitu isteri jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pada Sukan Sea 2003 di Vietnam.

Mengulas lanjut, pemain 17 tahun itu akui masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Mee Choo yang dianggapnya legenda wanita badminton negara.

“Masih banyak perlu ditingkatkan untuk menjadi sepertinya. Apapun saya berpuas hati dapat pingat emas sebab sudah lama perseorangan wanita tidak dapat pingat emas di Sukan Sea. Prestasi saya juga semakin baik, saya harap terus meningkat,” katanya.