TAMPIN - Pasukan hoki Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun (SKTZ) berjaya membuktikan kemampuan mereka apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Hoki Jemputan Bawah 12 Tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di sini, baru-baru ini.

Pengurus pasukan, Ruzita Abu Bakar berkata, pasukan hoki SKTZ berjaya menewaskan lima pasukan lain dari Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kita bangga dengan kesungguhan kesemua pemain lebih-lebih lagi dua pemain iaitu Muhammad Hafizuddin Muhammad Ikhwan, 12, dan Irfan Zikri Yusnorzahrolnaha, 12, yang muncul sebagai penjaga gol dan pemain terbaik kejohanan.

Muhammad Hafizuddin dan Irfan Zikri (kanan) masing-masing dinobatkan sebagai penjaga gol dan pemain terbaik kejohanan.

“Kedua-dua permata hoki sekolah ini telah mula aktif bermain hoki sejak berusia 9 tahun lagi dan merupakan bintang sukan berharga sekolah,” katanya.

Ruzita berkata, kejayaan pasukan hoki berkenaan juga adalah hasil latihan secara konsisten tanpa jemu di bawah bimbingan jurulatih, Hishamuddin Siran.

“Banyak kejayaan yang telah dicapai pasukan hoki sekolah ini dan diharap lebih banyak kejayaan akan dilakar pada masa hadapan," katanya.