KERATONG – Pasukan ragbi dari Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Keratong 4 nekad meneruskan prestasi cemerlang dalam sukan itu selepas 11 kali meraih johan peringkat
negeri Pahang sejak ditubuhkan pada 2002.

Kesungguhan pihak pengurusan pasukan untuk mengekalkan prestasi itu bertambah apabila meraih johan di peringkat kebangsaan ketika menyertai Pertandingan Ragbi anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Malaysia Rugby di Universiti Putra Malaysia (UPM), akhir Oktober lalu.

Pengurusnya, Zulkifli Harun berkata, kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil bimbingan jurulatih, Mazli Nasran, yang sentiasa memberikan fokus setiap kali sesi latihan selain
membina keyakinan pemain.

Teruja menyertai Program Pembangunan Ragbi Negara anjuran KBS.

Menurutnya, latihan konsisten membuahkan hasil apabila 11 kali meraih johan peringkat negeri selain ramai pemain dipilih mewakili negeri di kejohanan peringkat kebangsaan.

“Mungkin ada yang melihat SK LKTP Keratong 4 hanya sebuah sekolah di Felda tetapi pembangunan sukan ragbi yang kami laksanakan merupakan usaha serius bagi meletakkan pasukan pada tahap tertinggi.

“Menyertai kejohanan di peringkat negeri bukanlah perkara asing namun menyertai Pertandingan Ragbi di UPM baru-baru ini dengan membawa nama sekolah merupakan suatu yang istimewa ditambah meraih johan menewaskan sekolah dari negeri lain,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan usaha mencari bakat baharu untuk membentuk pasukan terhebat pada tahun hadapan dan dalam perancangan menganjurkan Kejohanan Ragbi Bawah 11 Terbuka Keratong.

“Melalui kejohanan sebegini kita akan mengenal pasti bakat baharu untuk diketengahkan selain dapat mempelajari teknik bermain daripada pasukan lain. Kejohanan ini turut disertai dari sekolah negeri lain dan sebuah sekolah dari Melaka sudah mengesahkan penyertaan,” katanya.