PEMAIN bukan pilihan dari Pulau Pinang, Chan Soon Keat melakar kejutan apabila menggondol kejuaraan acara utama perseorangan lelaki bawah 16 tahun pusingan kedua Kejohanan
Tennis Malaysian Junior Tour 2017, di gelanggang tenis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kelmarin.

Biarpun tewas pada set pertama, Soon Keat pamer kebangkitan aksi bertenaga sebelum tewaskan pemain pilihan keempat dari Johor, Mohd Irzad Shazurin 0-6, 7-5, 7-6(5).

Bagi acara perseorangan perempuan bawah 16 tahun, pemain Kuala Lumpur, Juliana Shalini muncul juara apabila tewaskan pemain Selangor, Ezatul Syafiqah 6-1, 6-0.

Juliana bersama gandingannya Nil Farah dari Perlis, muncul juara bagi acara beregu apabila menewaskan pasangan kembar Selangor Ezatul Syafiqah dan Ezatul Syahirah 6-3, 6-4.

Difahamkan, kejohanan berkenaan bakal berlangsung lapan pusingan dimulai pusingan pertama di Kuala Lumpur pada 12 hingga 15 Januari lalu, Perak (11–14 Februari), Johor (8–11 Mac), Kelantan (20 – 23 April), Pahang (11–14 Mei), Terengganu (13–16 Julai), Sabah (21–24 September) dan berakhir di Kedah pada Oktober.

Acara Masters pula akan diadakan pada November melibatkan lapan pemain menduduki 'ranking' tertinggi bagi setiap kategori.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Mahathir berkata, pihaknya gembira melihat kualiti permainan dipamerkan peserta.

“Usaha LTAM menganjurkan lebih banyak kejohanan tempatan sejak belakangan ini membuahkan hasil. Insya-Allah, pada 2017 LTAM akan mengorak langkah lebih besar lagi dengan menganjurkan kejohanan di peringkat antarabangsa pula," katanya.