Pelajar comel ini kongsi cerita bagaimana terjebak dengan sukan bola sepak.

Siapa sangka, dengan hanya mula-mula ikut abang ke padang bola untuk melihat abangnya berlatih tapi akhirnya dia terjebak dengan sukan yang dimonopoli lelaki itu.

Ini detik mula bagaimana pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 Syaqilah [email protected] menceburkan diri dalam sukan ini.

 Menurut Syaqilah, ketika itu dia di darjah tiga dan sering mengikut abangnya Muhammad Hadi [email protected] , 18 ke padang untuk bermain bola.

“Abang, ketika itu pemain salah satu kelab bola sepak Kuala Lumpur.. tak sangka pula selepas itu kami kongsi minat serupa,” katanya.

Kata Syaqilah, melihat minatnya pada sukan itu, bapanya, [email protected], 53, menubuhkan sebuah kelab bola sepak yang dinamakan Ombak FC.

Ombak FC merupakan sebuah kelab yang ditubuhkan pada tahun 2010 dan masih aktif sehingga kini.

“Sebab sering ikut abang ke padang, ada kawan dia yang tawarkan saya bermain dengan kelab mereka dan tak sangka.. ayah galakan saya sertainya.

“Dari situlah pembabitan saya mula serius dan saya rasa seronok serta yakin boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Syaqillah (berdiri, empat kanan) bersama pasukan Leopard FC dan jurulatih.

 

Ayah ajar taktikal permainan

Menurut Syaqilah, hari demi hari dia cuba mempertingkatkan diri dan mencabar kebolehan dalam sukan bola sepak.

“Jurulatih bola sepak sekolah mula nampak bakat saya dan mula memberi latihan secara serius sehingga terpilih untuk bermain dalam Liga Bola Sepak Perempuan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Malah, kata Syaqilah, ayahnya yang dianggap sebagai sifu banyak memberi tunjuk ajar terutama melatih teknik yang betul.

“Dalam pasukan SMK Seksyen 11, saya bermain di posisi pertahanan dan banyak juga teknik pertahanan serta serangan yang ayah ajar selain bimbingan jurulatih,” katanya.

Katanya, segala nasihat ayah disemat kemas di hati dan menjadi perangsang mencapai cita-citanya.

Selain ayah yang banyak memberi dorongan, adik-beradik dan ibunya juga tidak jemu memberi sokongan.

“Keluarga ibarat tulang belakang kejayaan sehingga saya mencapai tahap sekarang,” katanya.

Ahli pasukan Leopard FC menjalani latihan di padang SMK Seksyen 11.

Terpilih ke sekolah sukan

Kata Syaqilah, ketika di tingkatan satu dia bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak , namun apabila mengetahui ada pemilihan untuk pasukan bola sepak perempuan di SMK Seksyen 11 dia tidak melepaskan peluang itu.

“Alhamdulillah setelah melalui saringan pemilihan selama tiga hari dimana satu hari saya terpaksa melalui dua sesi latihan sebelah pagi dan petang, pada hari terakhir nama saya telah dipanggil kerana berjaya dipilih,” katanya.

Katanya, dia bagaikan bermimpi dapat melayakkan diri ke SMK Seksyen 11 dan kini bermain untuk pasukan bola sepak Sekolah Sukan Negeri (SSN) Selangor.

“Saya akan menjadikan sukan bola sepak ini kerjaya kedua saya kerana minat yang mendalam dalam bidang ini, namun saya akan seimbangkan dengan pencapaian akademik kerana cita-cita sebenar saya untuk menjadi ahli farmasi satu hari nanti,” katanya.

Abdul Razak

 

Kesan bakat Syaqilah ketika perlawanan

Manakala ketua jurulatih yang juga pengurus pasukan Abdul Razak Saleh berkata, beliau mengesan bakat Syaqilah ketika pemilihan terbuka bola sepak bawah 16 tahun untuk memasuki SMK Seksyen 11 apabila KPM meminta untuk mengadakan satu pasukan bola sepak perempuan tiga tahun yang lalu.

“Dia terpilih ketika sesi pemilihan diadakan pada hujung tahun 2014. Ketika itu ramai pelajar yang datang tapi tak semua punya bakat dan potensi untuk diketengahkan.

“Saya nampak bakatnya boleh pergi jauh.. dan terus terima masuk ke SMK Seksyen 11,” katanya.

Abdul Razak berkata, pada sesi pemilihan itu, pemain didedahkan kepada pelbagai aspek permainan bola sepak seperti fizikal, teknik, taktik dan kemahiran.

“Kini saya bangga dengan prestasi Syaqilah dan ahli pasukan lain yang dikenal Leopard FC.

“Saya cuba sehabis baik melatih mereka dan berusaha menyumbang seberapa banyak atlet untuk mewakili Selangor terutama ke kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.

Katanya, mereka masih muda dan  beliau yakin pihaknya boleh mengharap lebih lagi dan besar harapan beliau agar mereka dapat harumkan nama sekolah secara tidak langsung menaikkan nama negeri dan seterusnya dapat mewakili ke peringkat yang tertinggi.