GEORGETOWN - Sekolah Sukan Pulau Pinang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian akan memastikan pasukan bawah 14 tahunnya yang muncul naib johan Piala Remaja Dunia Gothia Cup 2017 terus bersama dalam usaha meningkatkan persefahaman antara satu sama lain.

Ketua jurulatihnya, Muhammad Faqhri Sobri berkata, bagi pelan jangka panjang pemain yang ada mampu mengalas tugas untuk bersama pasukan Pulau Pinang pada masa hadapan.

Menurutnya, walaupun berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan oleh Penang Black Tigers di China namun masih ada lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh pasukan kejurulatihan dan mahu pemainnya didedahkan dengan perlawanan tahap lebih tinggi selepas ini.

Pasukan SMK Mutiara Impian ketika singgah di Beijing,  China.

"Kami mempunyai beberapa perancangan pendek yang cuba dipenuhi antaranya memberi saingan dengan layak ke separuh akhir kejohanan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Bagi perancangan masa panjang pula, kami akan bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) untuk menyerap pemain berbakat ini ke dalam skuad Pulau Pinang Bawah 19 Tahun," katanya.

 Pemain SMK Mutiara Impian sebelum turun pada perlawanan akhir Piala Remaja Dunia Gothia Cup 2017.

Tambahnya, jika dibenarkan beliau mahu terus melatih pemain tersebut sehingga tamat persekolahan sebelum berkecimpung ke tahap yang lebih tinggi.

"Harapan saya pada pasukan ini semoga tidak dipecahkan agar persefahaman yang ada ini mampu ditingkatkan lagi untuk jadi lebih matang dan lebih maju," katanya.

Dalam pada itu, jelas Muhammad Faqhri sekurang-kurangnya tiga nama pemain daripada pasukan tersebut sudah berada dalam senarai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada hujung tahun ini.

Sabtu lalu, SMK Mutiara Impian tewas 3-0 kepada pasukan dari Jepun, Japan Junior League namun mereka tetap mencapai sasaran awal untuk muncul empat pasukan terbaik.