Tingginya melebih ketinggian yang dimiliki 'Si Panjang' pemain bola jaring negara yang hanya 186 sentimeter, walau masih di tingkatan empat bakatnya kian menyinar dalam sukan.

Memiliki ketinggian yang mencecah 188 sentimeter, berbadan tegap dan mempunyai tangan serta jari yang panjang menjadikan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 ini semakin menyinar dalam acara lontar peluru.

Tidak hairanlah Kamal Farhan A Rahman sering menjadi tumpuan dan harapan sekolah setiap kali menyertai kejohanan kerana pencapaiannya kini makin menonjol setiap kali beraksi di padang hingga berjaya menjuarai setiap kejohanan yang disertai.

“Saya minat dalam sukan dan olahraga sejak di bangku sekolah lagi, ketika itu saya aktif dalam olahraga dan mula bermain dalam acara lontar peluru.

“Saya pernah jadi johan acara lontar peluru ketika mewakili PPD Petaling Perdana dan memecah rekod serta mewakili Selangor untuk kejohanan MSSM di Melaka,” katanya.

Selain itu, dia juga pernah dinobat johan acara lontar peluru dalam kejohanan olahraga dan padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSSS) 2015.

Kamal Farhan

Bagaimanapun katanya, minat yang mendalam dalam olahraga membuatkannya cuba menceburi sukan lain seperti cakera dan lembing kerana tekniknya lebih kurang sama dengan lontar peluru.

“Mungkin disebabkan kekuatan otot tangan dan fizikal membuatkan saya menonjol dalam sukan cakera dan olahraga lain yang menggunakan keupayaan serupa.

“Tapi untuk jadi pemain cakera yang baik bukan diukur pada saiz fikikal sahaja, teknik dan taktik yang betul sangat penting untuk buat balingan yang sempurna,” katanya.

Selalu ikut perkembangan idola

Disebabkan terlalu minat dengan pemain idolanya, dia sentiasa mengambil tahu perkembangan atlet idolanya dan menonton setiap perlawanan yang disiarkan di televisyen.

“Saya kagum dengan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.. dia punya bakat luar biasa dan tidak mudah berputus asa. Saya selalu juga tengok kat TV dan belajar teknik balingan irfan.

“Saya selalu ikut perkembangannya.. baru-baru ini beliau berjaya pecah rekod kebangsaan dengan catatan balingan 61.10 meter yang dicipta pada kejohanan di Jerman,” katanya.

Kata Kamal, selain Irfan, dia juga sangat meminati atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Baginya, semangat juang yang tinggi dan kuat dipamerkan Ziyad membuatkan dia berasa sangat kagum dan menjadikannya sebagai satu motivasi buat dirinya.

Ingin jadi pemain bertaraf dunia

Kamal menanam azam untuk menjadi pemain cakera bertaraf dunia dan dikenali ramai satu hari nanti.

“Walaupun saya aktif bersukan, saya juga tidak mengetepikan pelajaran sebab untuk mengejar cita-cita saya dan menjadi pemain bertaraf dunia kita juga kena berilmu,” katanya.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan ini, Kamal sering menjuarai kejohanan yang disertai dan sering memberi saingan sengit kepada atlet lain.

Lebih membanggakan, dia juga berjaya meraih emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera pada kejohanan MSSS 2017.

“Saya akan jadikan kejayaan hari ini sebagai pembakar semangat untuk berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, perkara yang sangat dibimbangkan jika dia mengalami kecederaan kerana khuatir tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya.

“Bagi mengelakkan saya cedera ketika latihan mahupun perlawanan, saya cuba sehabis baik menjalani latihan fizikal yang diajar jurulatih serta kerap melakukan regangan dan senaman di gim.. saya akan berusaha hingga layak mewakili Malaysia dalam Sukan Sea nanti,” katanya.

Kamal (berdiri tiga kanan) bersama ahli pasukan dan jurulatih.

Yakin kebolehan Kamal

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga (balingan dan jarak jauh), Muhammad Khubaib Ahmad Fuad berkata, beliau menyifatkan Kamal sangat berbakat dan berpotensi serta boleh pergi jauh dalam sukan olahraga khususnya lempar cakera ini.

“Saya lihat Kamal ada banyak kelebihan.. terutama pada bentuk fizikalnya dan panjang jarinya sangat membantu dia dalam sukan ini, Kamal juga sentiasa ada peningkatan terutama dari segi teknik.

“Walaupun memiliki ciri fizikal seorang ahli sukan yang baik, namun apa yang paling penting sebenarnya adalah disiplin,” katanya.

Muhammad Khubaib

Menurut Khubaib, beliau yakin Kamal akan menyerlah suatu hari nanti dan mampu menempatkan nama ke peringkat yang lebih tinggi jika dia terus fokus dan kekalkan displin dalam sukan ini.

“Dengan pencapaian setakat ini saya bangga dengan prestasi Kamal dan ahli pasukan yang lain. Saya cuba sehabis baik melatih mereka dan berusaha menyumbang seberapa banyak atlet untuk mewakili Selangor terutama ke Kejohanan MSSM.

“Besar harapan saya agar Kamal dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa satu hari nanti,” katanya.

BIODATA 

Nama : Kamal Farhan A Rahman

Umur : 16 tahun

Sekolah : SMK Seksyen 11

PENCAPAIAN

1.MSSS 2015 – Lontar Peluru (Emas)

2.MSSS 2016 – Lontar Peluru (Emas)

                         - Lempar Cakera (Emas)

3.MSSM 2016 - Lontar Peluru (Tempat ke-9)

                        - Lempar Cakera (Gangsa)

4.Terbuka Kuala Lumpur 2016  - Lempar Cakera (Gangsa)

5.MSSS 2017  - Lontar Peluru (Emas)

                           - Lempar Cakera (Emas)

6.Sukan Selangor (success) 2017 - Lontar Peluru (Perak)

                                                              - Lempar Cakera (Perak)

7. Sirkit KPM Balapan & Padang bawah 16 Tahun 2017 - Lontar peluru (Perak)