Bakatnya dalam bidang olahraga mula digilap sejak usia muda lagi menerusi acara sukan tahunan yang dianjurkan di sekolahnya.

Bakat sukan yang ada diwarisi daripada kedua-dua ibu bapanya membuatkan Siti Nursyafiqa Noor Zakri kini boleh dianggap sebagai permata baharu sukan olahraga negeri Selangor.

Mula mewakili sekolah di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah Petaling Perdana ketika berusia 10 tahun, bakat Nursyafiqa semakin berkembang kini apabila mula mewakili Daerah Petaling Perdana dalam acara 100m, 200m dan 100m lari berganti.

Gadis pemalu ini mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada guru dan jurulatih di sekolahnya, Mohd Jeremi Efendy, membuatkan Nursyafiqa kini sentiasa yakin untuk beraksi dalam kejohanan olahraga yang disertai.

“Bukan mudah untuk menjadi seorang atlet olahraga. Namun dengan sokongan ibu bapa dan guru, saya sudah mula sesuaikan diri dengan kehidupan sebagai atlet.

“Ibu bapa dan guru sentiasa sokong perkembangan saya agar sentiasa fokus bidang yang saya ceburi terutamanya sukan olahraga. Saya teringin untuk mewakili Malaysia pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman mewakili sekolahnya tiga tahun berturut-turut dalam kejohanan peringkat daerah secara tidak langsung menjadikannya lebih berkeyakinan dalam menempuh kehidupan seharian berbanding gadis seusianya.

Tidak mahu terus berada dalam zon selesa, Nursyafiqa berhasrat untuk sambung pengajiannya di Sekolah Sukan Bukan Jalil (SSBJ) apabila memasuki tingkatan satu.

Nursyafiqa berkata, SSBJ menjadi sekolah impian kerana kemudahan yang disediakan untuk atlet di sana serba lengkap bagi menjalani latihan.

“Saya difahamkan atlet di sana mempunyai jurulatih khas yang sentiasa memantau perkembangan bakat atlet. Saya yakin bakat saya akan terus berkembang jika mendapat latihan yang berterusan di sana bersama atlet-atlet lain.

Seimbangkan pelajaran dan sukan

Anak pertama daripada empat adik-beradik ini turut berkata, walaupun sibuk menjalani latihan sebagai seorang atlet terutamanya menjelang kejohanan, pelajaran sama sekali tidak diabaikan.

Nursyafiqa akan menjalani latihan pada sebelah pagi bermula jam 7 hingga 10 pagi, sebelah petangnya pula latihan bermula dari jam 2 hingga 6 petang.

Waktu malam pula digunakan sepenuhnya untuk menghadiri kelas tambahan, kelas mengaji dan mengulang kaji pelajaran di rumah jika tidak mempunyai sebarang aktiviti.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mencapai cita-cita utama saya mahu mewakili Malaysia dalam acara 100m wanita,”katanya.

Gemar layari internet selain bersukan

Seperti generasi seusia dengannya, pada waktu lapang Nursyafiqa gemar melayari internet dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

“Selain mewakili sekolah sebagai atlet, saya juga seorang pengawas dan Ketua Persatuan Olahraga di sekolah.

“Walaupun aktif dalam pelbagai aktiviti, pelajaran saya tidak pernah terganggu. Malah pelajaran semakin meningkat sejak mula aktif dalam aktiviti sukan,” katanya.

Baginya, sebagai seorang atlet yang masih belajar, dia perlu bijak membahagikan masa untuk kekal tenang dalam kesibukan yang dihadapi setiap hari.

Ibu bapa dan guru sebagai pendorong

Nursyafiqa menzahirkan rasa syukur apabila mempunyai bapa, Noor Zakri Mohd Noor, 37, dan ibu, Siti Fatimah Awang, 35 yang sentiasa menyokong penuh penglibatannya dalam bidang sukan.

“Ibu bapa sentiasa hadir untuk memberikan sokongan.

“Mereka juga tidak pernah berkira untuk belikan peralatan sukan seperti kasut untuk latihan dan pertandingan.

“Selain ibu bapa, Cikgu Jeremi juga banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya dalam bidang sukan. Jika ibu bapa tidak dapat menghantar saya menjalani latihan, Cikgu Jeremi yang akan mengambil dan menghantar saya,” katanya.

Berkongsi sisi peribadinya, Nursyafiqa bercita-cita untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Sains Sukan.

“Saya ingin jadi jurulatih olahraga apabila besar nanti,” katanya.