MENYIMPAN impian menduduki ranking ke-10 dunia menjadi pembakar semangat pemain skuasy remaja negara, S Sivasangari, 17 untuk terus mara mengejar cita-cita.

Gadis  berasal dari Kedah itu tidak pernah berasa rutin latihan harian yang dijalani mengorbankan zaman remajanya sebaliknya usaha kerasnya  itu disifatkan sungguh berbaloi demi masa depan negara.

Sivasangari berkata, dia menjalani latihan setiap petang dengan jurulatih, Ong Beng Hee di Bukit Jalil manakala pada hujung minggu latihan berlangsung pagi dan petang.

Pemain skuasy kebangsaan itu kini berada di tangga ke-88 dunia kategori senior menjadikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David sebagai idolanya.

Menyingkap sejarah pembabitannya dalam arena skuasy ini bermula sejak dia berusia lapan tahun.

Pelajar O Level, Kolej Tuanku Jaafar, Mantin mula berjinak-jinak dengan sukan skuasy hanya sekadar suka-suka pergi berlatih.

“Namun potensi saya diintai jurulatih dan mendorong untuk serius berlatih skuasy dan sertai kejohanan.

“Memandangkan saya memang minat dengan skuasy maka saya ikut nasihat jurulatih  dan bermain dengan lebih fokus untuk mencapai impian,” katanya.

Katanya, minat bermain skuasy datang daripada diri sendiri bukan diwarisi seperti orang lain.

“Mak dan ayah tak halang saya serius dalam bidang ini (skuasy) tapi mereka mahu saya bijak uruskan masa dan seimbangkan antara pelajaran dan sukan.

“Buat masa ini okey, saya masih boleh bahagikan masa untuk kedua-duanya dan tiada sebarang masalah,” katanya.

Prinsip utama hidup yang menjadi pegangan Sivasangari ialah tiada istilah putus asa dalam perjuangan.

“Saya memang nak berada di ranking 10 dunia, sebab itu saya tidak akan putus asa. Ini impian saya, jadi setiap tindakan mesti menuju ke arah impian itu,” katanya.

Menyentuh mengenai pemain handalan dunia dari Mesir, Sivasangari berkata, taktikal terbaik bagi berdepan pencabar hebat itu ialah bermain dengan arah dan kaedah bertentangan dengan mereka.

Pada 23 Februari ini, dia akan ke Pakistan untuk menyertai Kejohanan Senior di sana.