ROMPIN - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dato K Pathmanaban, Rompin, di sini, menggalakkan murid-murinya aktif dalam sukan, seterusnya menjadikan bidang itu sebagai kerjaya pada masa hadapan.

Guru Besarnya, G Rajan berkata, murid bagaimanapun diingatkan supaya tidak mengabaikan pelajaran walaupun aktif bersukan.

“Sukan adalah bidang yang luas, ada pelbagai sukan. Jika mahu menjadikan sukan sebagai kerjaya perlu bersungguh-sungguh pada peringkat sekolah rendah lagi.

“Kita boleh lihat bakat murid-murid ini melalui pembabitan mereka dalam pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan,” katanya ditemui selepas selesai sukan sekolah berkenaan kali ke-35, baru-baru ini.

Sukan tahunan itu turut dimeriahkan dengan persembahan pasukan pancaragam dari Port Dickson.

Dalam pada itu, Rajan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang memberi sokongan kepada sekolah dalam menjayakan program tersebut.

"Kita berharap sokongan ini berterusan yang mana turut memberi kesan terhadap pencapaian murid sekolah ini,” katanya.