KOTA TINGGI - Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Panchor muncul johan pertandingan sepak takraw bawah 12 tahun Majlis Sukan-sukan Daerah (MSSD) Kota Tinggi selepas menewaskan 16 sekolah lain.

Pertandingan yang berlangsung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar turut menyaksikan SK Tenggaroh Selatan menjadi naib johan.

SK Kampung Panchor yang menghantar dua regu turut bertuah apabila berjaya merangkul tempat ke tiga dalam pertandingan tersebut.

Guru Besar SK Kampung Panchor, Zainal Samijan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua terlibat.

“Alhamdulillah, tahun lepas kita hanya dapat tempat ke tiga tetapi tahun ini kita berjaya tingkatkan pencapaian menjadi johan dan tempat ke tiga,”katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru, Mohd Salim Aripin pula berkata, rahsia kejayaan adalah latihan gigih murid.

“Selain berlatih di sekolah mereka turut meneruskan latihan bersama bekas pelajar SK Kampung Panchor yang berpengalaman bermain takraw," katanya.