KOTA BHARU – Kelab Taekwondo Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yahya Petra 2, Kuala Krai meraih pencapaian cemerlang apabila menjuarai kategori sembilan hingga 11 tahun lelaki dalam Kejohanan Taekwondo WTF ‘One Force Taekwondo Club’ Kali Pertama, baru-baru ini.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Dewan Kolej Vokasional Kuala Krai itu, Kelab Taekwondo SK Sultan Yahya Petra 2 berjaya membawa pulang empat pingat emas, empat perak dan lapan gangsa.

Ikhwan Abdul Rais berjaya menggondol dua emas dalam kategori Fineweight dan Middleweight manakala Nur Hidni Batrisya Roslan (Fineweight) dan Adam Iman Mohd Fadhlee Emas
(Bantamweight) masing-masing menyumbang satu emas.

Empat perak diraih menerusi Muhammad Aslam Mohd Aruaruddin, Muhamad Iktisyam Hazim Mohd Nordin, Nur Aisya Hani Abd Hadi dan Ahmad Fauzan Ezani.

Sementara itu, lapan gangsa disumbangkan Adam Firdaus Rosman, Nur Marian Sufiah Mohd Nazaruddin, Nur Khamila Moorul Hamid, Muhammad Danish Irfan Ismail, Muhammad Hariz Absyar Suhaidin, Nik Muhammad Amirul Ikram Zahari, Siti Aisyah Zahari dan Wan Mohammad Haziq Wan Harun.

Lebih membanggakan, dua atlet mereka, Ikhwan dan Adam Iman terpilih menyertai Kejohanan Taekwondo (WTF) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang kali kelima yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

Kejohanan anjuran One Force Taekwondo Club (WTF) dengan kerjasama Persatuan Taekwondo Negeri Kelantan (PTNK) dan Kolej Vokasional Kuala Krai itu disertai seramai 240 peserta dari seluruh negeri ini.

Guru besar sekolah berkenaan, Zuraidi Shafii berkata, kejayaan tersebut merupakan yang kedua selepas Kejohanan Taekwondo (WTF) Jemputan Sekolah-Sekolah dan institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) Kali Ke-15, Julai lalu.

“Alhamdulillah, sekali lagi kita berjaya meraih pencapaian cemerlang dalam kejohanan ini. Kejayaan luar biasa ini merupakan usaha keras jurulatih pengalaman, Zakaria Ismail bersama guru penasihat, Saniza Abdullah Sani, Nik Mimi Latifah Nik Kasim selain penolong kanan kokurikulum, Aigi A/P To Wen.

“Ia juga hasil kerjasama semua guru dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) yang sentiasa memberi semangat kepada murid untuk melakar sejarah sehingga mampu menjulang kecemerlangan kokurikulum PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Kuala Krai,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan tersebut juga secara tidak langsung menyuntik motivasi kelab berkenaan untuk meraih lebih banyak kejayaan dalam kejohanan lain pada masa akan datang.