KOTA BHARU - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Chengal membuktikan kejaguhan apabila merangkul kejuaraan bawah 15 tahun Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Kota Bharu Selatan, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir, SMK Kampong Chengal berjaya menewaskan Maktab Sultan Ismail (SIC) 1-0 sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

Bagi naib juara, mereka (SIC) bukan sahaja tidak bernasib baik malah gagal membalas dendam atas kekalahan 0-1 kepada lawan sama dalam perlawanan akhir edisi lalu.

Sementara itu, hasrat SMK Mulong untuk mengekalkan gelaran pasukan ketiga terbaik tidak kesampaian apabila tewas sepakan penalti 0-3 kepada SMK Sultan Ismail.

Kedua-dua pasukan gagal mencipta jaringan sehingga tamat permainan sebenar penentuan tempat ketiga dan keempat itu terpaksa diputuskan menerusi tendangan penalti.

Pemain SMK Kampong Chengal (depan) dan SIC bergambar bersama sebelum kedua-dua berentap dalam perlawanan akhir.

Terdahulu pada aksi separuh akhir, SMK Kampong Chengal tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran SMK Mulong 3-0 manakala SIC terpaksa bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas SMK Sultan Ismail.

Sebanyak 24 pasukan dalam zon Kota Bharu Selatan mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.

Pengerusi Teknik Bola Sepak Kota Bharu, Harizan Hamid menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Setiausahanya, Mohd Haderami Ismail dan Pengerusi Teknik Bola Sepak Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Kelantan (PSKPPK), Mohd Noor Abd Rahman.

Harizan (tiga, kanan) diperkenalkan barisan pemain SMK Kampong Chengal oleh ketua pasukan sekolah itu.
Salah seorang guru menerima sijil kecemerlangan dari Harizan.
Pengadil melakukan undian antara kedua-dua kapten bagi menentukan pasukan mana yang akan melakukan sepak mula permainan.
Harizan (tengah), bersama Mohd Noor (kiri) menyampaikan medal kepada pemain.