SELEPAS gagal dalam empat perlawanan, SMK Presint 14 (1) kembali ke landasan kemenangan selepas berpesta gol ke atas SMK Seri Titiwangsa 5-1, Sabtu lalu.

Tiga gol terhasil di separuh masa pertama menerusi Mohd Ashraf Iqwan Anuar (minit 17), Firas Faiq Ahmad Farid (minit 23) dan Muhd Effi zul Haikal Amrullah (minit 34).

Muhd Noor Syafiq Rosdi terus menceriakan skuad kendalian Rozmi Musa dengan gol keempat di minit ke 42, namun Mohd Shahrol Nizam Sudeng Badae menghidupkan perjuangan SMK Seri Titiwangsa apabila meledak gol lima minit berselang.

Abd Mubin Ab Wahab menutup pesta gol SMK Presint 14 (1) dengan gol kelima di minit 69 untuk memberikan kemenangan kedua buat pasukan Akademi Felda ini selepas enam perlawanan.

“Tahniah kepada pemain pemain selepas berjaya meraih kemenangan pertama selepas tiga kali beraksi di gelanggang sendiri, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki kerana mereka masih belum konsisten,” kata pengendali SMK Presint 14 (1) Rozmi Musa.

Selepas enam perlawanan, SMK Presint 14 (1) naik dua anak tangga ke kedudukan 10, berkongsi enam mata dengan SMK Seri Kota (Melaka) dan SMK Tabuan Jaya (Sarawak) yang menghuni kedudukan kesembilan dan lapan.

Sementara itu, rekod tanpa kalah Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI) lebur selepas tujuh perlawanan susulan kekalahan 0-1 ke atas SMK Bukit Indah.

Gol kemenangan SMK Bukit Indah dijaringkan Muhd Haiqal Khairuddin di pertengahan separuh masa pertama sekali gus meletakkan SSTMI ke tangga kedua.

Peluang ini dimanfaatkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ untuk naik ke tangga teratas Liga Super selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas tuan rumah SMK Tabuan Jaya.

Mohd Khairil Mohd Zain meledak dua gol untuk SSMP ‘A’ manakala satu lagi gol disumbang Muhd Adam Uwais Mohd Armi.

SSMP ‘A’ mengumpul 18 mata selepas mengharungi enam perlawanan, dua mata didepan SSTMI.

Dalam saingan Liga Perdana, SMK Putera terus mengungguli carta selepas melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas SMK Datuk Peter Mojuntin di Sabah.

SSMP ‘B’ terus mengekori rapat pendahulu, mengumpul 15 mata, kurang satu mata dengan pendahulu selepas turut meraih tiga mata, susulan kemenangan 3-0 ke atas SMK Seberang Temerloh.

Mengekori rapat dua pendahulu, SMK Tun Hussein Onn yang melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Ibrahim Fikri untuk berada di tangga ketiga dengan 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan.