BACHOK - Jaringan cantik Muhamad Adam Zullkifli menerusi sepakan voli memastikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teratak Pulai mengatasi SMK Dato Perdana 1-0 dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Pra Musim, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan sekolah berkenaan merangkul kejuaraan kejohanan anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Sekolah Menengah Vokasional Bachok.

Naib johan dimenangi SMK Dato Perdana diikuti tuan rumah Kolej Vokasional Bachok dan tempat keempat, SMK Kubang Telaga.

Ketua jurulatih SMK Teratak Pulai, Nik Abdul Aziz Nik Mohamed berkata, percaturannya mengadunkan pemain senior dan muka baharu nyata membuahkan hasil.

“Syukur di atas kejayaan ini dan kini pemain memberi komitmen tinggi untuk merebut tempat dalam skuad utama sebagai persediaan menghadapi kejohanan MSSD Bachok yang akan diadakan bulan ini,” katanya.