SEKOLAH Menengah Sains Selangor (SMSS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pulai Perdana dari Johor membuktikan kehebatan masing-masing apabila mengungguli Kategori Bawah 17 Tahun Lelaki dan Kategori Bawah 17 Tahun Wanita ragbi sentuh Karnival Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

SMSS menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar dengan mata 5-0 sementara SMK Seri Pulai Perdana menumpaskan SMK Taman Kosas Selangor dengan mata 1-0 selepas masa tambahan.

Sebanyak 236 pasukan beraksi dalam 538 perlawanan selama dua hari melibatkan penyertaan hampir seramai 3,000 pemain lelaki dan wanita dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang hadir memberi sokongan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.

Karnival pada tahun ini mendapatkan sambutan amat menggalakan dalam kalangan sekolah Malaysia bagi 11 kategori yang dipertandingkan oleh pihak penganjur.