SEKOLAH Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Bawah 17 Tahun melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Belia 2016 selepas menewaskan juara bertahan, Selangor 2-1 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Skuad kendalian jurulatih Reduan Abdullah itu menang menerusi agregat 3-1 selepas mengatasi Selangor 1-0 pada perlawanan akhir pertama di Stadium Selayang pada 16 Oktober lalu.

Namun dalam aksi itu Selangor dibimbing jurulatih Noor Zaidi Rohmat terlebih dulu memperoleh gol pendahuluan minit ke-20 menerusi penyudah Fazrul Fahriz Zeky untuk mengikat
kedudukan agregat 1-1.

SSBJ B-17 bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan minit ke-26 selepas percubaan Awang Faiz Haziqq Awang Fathi terbias kaki pertahanan Selangor.

Ketika Selangor mencari gol untuk kembali mengikat kedudukan agregat, SSBJ B-17 sebaliknya memperoleh gol kedua minit ke-44 menerusi penyerang, Zafuan Azeman untuk agregat 3-1.

Selaku juara, SSBJ membawa pulang RM80,000 manakala Selangor sebagai naib juara menerima RM50,000.

Sementara itu, Reduan menganggap kemenangan itu suatu yang amat menggembirakan.

“Alhamdulillah, saya amat gembira dengan prestasi pemain saya pada malam ini. Mereka melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah kami berjaya membawa kejuaraan ini pulang ke Bukit Jalil," katanya.