KUALA TERENGGANU - Pernah diiktiraf sebagai apit kanan terbaik bawah 16 tahun,  berjaya meraih dua pingat perak dalam acara berpasukan dan regu di peringkat antarabangsa membolehkan anak kelahiran Kampung Tembila, Besut, Muhammad Noor Amirul Zarawi, 16, dinobatkan sebagai Olahragawan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) 2018.

Manakala kemampuan atlet pecut dari Kampung Saujana, Setiu, Siti Norzullaika Ramli, 16, meraih pingat emas dalam acara 4x100m sempena Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak baru-baru ini diumumkan sebagai Olahragawati SSMT 2018.

Bagi Muhammad Noor Amirul, kejayaan tersebut ditujukan kepada semua yang tidak pernah putus memberi sokongan terutama kepada pasukan sepak takraw SSMT
bawah 16 tahun, keluarga, rakan-rakan dan juga jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani yang menjadi nadi kekuatannya selama ini.

"Sebenarnya saya masih terkejut dengan anugerah ini, sesungguhnya  saya tidak menyangka akan dipilih sebagai olahragawan tahun ini.

"Saya berjanji dan nekad akan terus berusaha bagi memastikan cita-cita saya menjadi pemain sepak takraw Malaysia terbaik suatu hari nanti tercapai," katanya yang turut menjadikan jurulatihnya sebagai idola.

Muhammad Noor Amirul berjaya meraih tempat ketiga dalam  Kejohanan Double and Quadrant, naib johan antara regu Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), johan Majlis Anugerah Gemilang SSMT yang berlangsung di Kompleks Sukan Terengganu Kejohanan Liga Ramadhan anjuran Persatuan Sepak Takraw Terengganu (PSNT), tempat ketiga Kejohanan Remaja Kebangsaan dan naib johan di Kejohanan Terbuka Marang.

Sementara itu, Siti Norzullaika mendedikasikan anugerah diraih itu  kepada bapanya, Ramli Mat Nong dan ibunya, Roslina Harun.

"Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih serta semua yang menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya selama ini," katanya yang turut memperoleh tempat ketujuh dalam acara 100m akhir dan tempat keenam dalam acara 200m akhir Sukma lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga turut membantu kontinjen Terengganu menjadi juara keseluruhan Sukma 2018.