KEPUTUSAN FINAL LELAKI

SSTMI Thunderbolt 2-2 AHP-MSP Thunderbolt

(SSTMI menang penalti shoot-out 4-3)

FINAL WANITA

SSTMI 1-1 Wipers-KLSS

(SSTMI menang penalti shoot-out 3-2)

SEKOLAH Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt menebus kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan Liga Divisyen Satu apabila berjaya menjulang Piala TNB Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2017 dengan menewaskan AHP-MSP Thunderbolt pada aksi final kelmarin.

Namun kejayaan yang diraih SSTMI bukan mudah apabila hanya mengesahkan kemenangan menerusi penentuan penalti shoot-out 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 tamat permainan sebenar.

Ketua Jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman mengakui terkejut dengan cabaran diberikan AHP-MSP pada aksi final.

“Kami jangka final agak mudah tapi tak sangka AHP-MSP beri saingan cukup sengit.

“Mereka nampak bersungguh-sungguh nak tewaskan kami.

“Di pihak kami pula, barisan pemain tidak terlalu memberi tekanan. Tapi akhirnya kemenangan berpihak kepada kami juga,” katanya.

Pemain AHP-MSP turut memberikan saingan sengit dalam perlawanan akhir.

Berdasarkan format kejohanan, kedua-dua pasukan berkongsi wang kemenangan sekiranya keputusan seri pada masa penuh.

Ini bermakna SSTMI dan AHP-MSP masing-masing membawa wang tunai berjumlah RM32,500.

SSTMI bermula baik apabila di depan pada minit ke-9 menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Skuad SSTMI meraikan gol kemenangan mereka.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Muhammad Hazzim Amin Hafidz pantas menyamakan kedudukan untuk AHP-MSP hasil gol padang pada minit sama.

SSTMI kembali di depan pada minit ke-24 dan kali ini menerusi Muhammad Fikri Amerrunizzar yang berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Separuh masa kedua lebih rancak apabila kedua-dua pasukan saling berusaha untuk mencari gol, namun segala peluang terhidang gagal disempurnakan dengan baik.

Usaha AHP-MSP cari gol penyamaan membuahkan hasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-54 dan disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Idris Samad.

Aksi final SSTMI Skuad SSTMI meraikan gol kemenangan mereka. dan Wipers-KLSS.

Sementara itu, skuad wanita SSTMI menjulang Piala TNB selepas mendominasi aksi final dengan menewaskan Wipers-KLSS menerusi penentuan penalti 3-2 selepas kedua-duanya terikat 1-1 tamat perlawanan sebenar.

Ketua Jurulatih SSTMI, Azlizam Abdul Shukor berkata, semangat setiap pemain untuk meraih kemenangan adalah antara kunci kepada kemenangan hari ini.

“Pengalaman bermain dalam liga juga adalah salah satu faktor kejayaan kami meraih kejuaraan berganda musim ini.

“Sikap tak putus asa pemain sampai tamat perlawanan juga faktor utama kejayaan ini,” katanya.

 SSTMI turut memenangi final kategori wanita.