Pontian - Kelab Bola Keranjang Brotherhood dinobat juara bagi kategori lelaki Pertandingan Bola Keranjang Bawah 14 Tahun yang berlangsung sengit di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Tong di sini, baru-baru ini.

Manakala naib johan menjadi milik pasukan Sekolah Menengah Pei Chun dan Kelab Bola Keranjang Brex di tempat ketiga.

Pertandingan yang dianjurkan Persatuan Bola Keranjang Daerah Pontian itu memperlihatkan kehebatan pasukan SMK Dato Mohd Yunos yang berjaya merangkul juara bagi kategori perempuan manakala pasukan Sekolah Menengah Pei Chun di tempat kedua dan Kelab Bola Keranjang Sakura ketiga.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, pihak berkenaan diminta menimbangkan permohonan yang dikemukakan Persatuan Bola Keranjang Daerah untuk menaik taraf gelanggang sedia ada di hadapan Balai Polis Pontian Lama, di sini.

Peserta kejohanan bola keranjang di SJKC Tah Tong.

Pegawai Daerah Pontian, Mohd Shukri Mohd Masbah berkata, gelanggang tersebut digunakan setiap hari oleh golongan belia sebagai lokasi riadah pada waktu petang.

Oleh itu katanya, sudah tiba masanya gelanggang tersebut diberi wajah baharu sesuai dengan lokasinya yang terletak di tengah bandar Pontian.

"Pihak persatuan mencadangkan supaya gelanggang dipasang dengan bumbung iaitu melibatkan kos kira-kira RM600,000 bagi membolehkan ia digunakan walaupun ketika hujan.

“Ketika ini pertandingan bola keranjang diadakan dengan menumpang gelanggang di sekolah memandangkan mereka mempunyai gelanggang berbumbung dan kemudahan lain,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bola Keranjang Bawah 14 Tahun di SJKC Tah Tong di sini.

Mohd Shukri berkata, beliau menyokong usaha yang dilakukan oleh mana-mana persatuan sukan di daerah ini yang sentiasa menganjurkan program pembangunan untuk bakat baharu.

Bergambar sebelum kejohanan bola keranjang bermula.

Katanya, pertandingan bawah umur adalah langkah jangka panjang bagi memastikan persatuan tidak ketandusan pemain untuk diketengahkan bagi mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri dan sebagainya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Daerah Pontian, Sih Huay Heng berkata, pihaknya memang mengharapkan mempunyai sebuah dewan bola keranjang sendiri, namun ia memerlukan kos yang besar bagi pembinaannya.

Justeru katanya, kerja-kerja naik taraf gelanggang sedia ada sudah memadai bagi membolehkan persatuan menganjurkan lebih banyak pertandingan.

“Kami berharap cadangan ini mendapat perhatian bagi menambahkan lagi kemudahan sukan kepada golongan belia sejajar dengan saranan Kerajaan Johor melahirkan masyarakat yang sihat,” katanya.